Jentera MCA Selangor tidak diaktifkan di KKB

SEPANG 25 April –  Seluruh jentera MCA Selangor tidak akan diaktifkan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada 11 Mei ini, kata Pengerusi MCA Selangor,  IR Lawrence Low.

Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan keputusan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang dibuat pada 19 April baru-baru ini, sekiranya BN tidak meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Pada masa yang sama, keceluparan pemimpin tertinggi DAP yang berterusan menghina MCA menyebabkan akar umbi parti terguris dan tidak sanggup dikerah untuk membantu kempen memenangkan calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Beliau yang juga Naib Presiden MCA berkata, pelbagai kata cacian dilemparkan kepada MCA dengan penuh kebencian dan kini demi undi, DAP mahu MCA membantu memenangkan calon mereka.

“Bagaimana MCA mahu menjelaskan kepada akar umbi supaya membantu pihak yang menyerang, mengutuk, menghina dan memperlekehkan parti kami?

Seperti mana kata Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, “Semasa diperlukan, ‘pijak semut tak mati’. Semasa tidak diperlukan, diludah dikahak sesuka hati.” Bayangkan jika ini berlaku kepada parti lain, adakah wujud istilah ‘berjiwa besar’?,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, MCA Selangor berharap semua pihak dapat memahami fakta dan realiti ini, serta tidak terperdaya dengan naratif salah yang dimainkan oleh segelintir pihak yang cuba memburuk-burukkan MCA, sebagai parti komponen BN.

Nnn

Related posts

Leave a Comment