62 sukarelawan terima vaksin

KERAJAAN memulakan suntikan vaksin bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19 kepada 62 sukarelawan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, semalam, Sabtu 30 Januari.

Individu itu adalah kumpulan terawal di Malaysia menerima suntikan vaksin berkenaan dan mereka adalah sebahagian daripada 375 individu yang disasarkan menjadi sukarelawan bagi proses penerimaan suntikan kajian klinikal vaksin Covid-19 di hospital itu.

Ketua Jabatan Pusat Penyelidikan Klinikal HSAH, Dr Vijaya Kumar L Suppan, berkata sukarelawan terbabit dipilih dalam kalangan individu berumur 18 tahun ke atas dan memiliki tubuh badan yang sihat.

Selain itu, katanya, mereka yang dipilih tidak membabitkan wanita mengandung, wanita bercadang mengandung dan wanita yang masih berada dalam proses penyusuan.

Majoriti sambutan yang diterima untuk menjadi sukarelawan di HSAH membabitkan kumpulan belia yang berumur antara 18 hingga 30 tahun. Mereka sudah menjalani saringan Khamis lalu dan selepas didapati bebas Covid-19, barulah boleh menerima suntikan vaksin pada hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan sebelum ini menyatakan Kajian Klinikal Fasa 3 adalah kerjasama antara Malaysia dan China menerusi Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS). Kajian sama turut dijalankan di Brazil selain Kajian Klinikal Fasa 1 dan 2 dilakukan di China.

Vaksin kajian berkenaan menggunakan platform vaksin tidak aktif yang diperbuat daripada virus yang sudah dimatikan.

Kira-kira 3,000 sukarelawan di seluruh negara akan menerima suntikan di sembilan hospital KKM yang dijadikan tapak kajian di bawah seliaan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM iaitu HSAH, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Hospital Taiping, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Seberang Jaya, Hospital Pulau Pinang, Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Umum Sarawak.

Related posts

Leave a Comment