Brunei Darussalam catat kes ke-174

BRUNEI DARUSSALAM mencatatkan satu kes baharu jangkitan Covid-19 semalam, 12 Januari menjadikan jumlah keseluruhan 174 orang.

Kes melibatkan seorang lelaki berumur 28 tahun, yang tiba dari India pada 30 Disember 2020 dengan menaiki penerbangan BI4112.

Menteri Kesihatan Dr. Awang Md. Isham Jaafar berkata, lelaki itu tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan dan kini berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Katanya, pengesanan kontak bagi kes ini sedang giat dijalankan

 “Dengan pengesanan kes baharu ini, terdapat 18 kes aktif, sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan satu kes yang sebelum ini dimasukkan ke Unit Penjagaan Intensif bagi pemantauan dan rawatan rapi beransur pulih,” katanya.

Beliau berkata, dengan pengesanan kes baharu ini, sebanyak 33 kes import disahkan sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020, di mana negara ini mencatatkan 251 hari tanpa kes jangkitan tempatan.

 Sehingga semalam, seramai 593 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan, iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara.

Setakat ini, seramai 11,096 orang menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

  

Related posts

Leave a Comment