12 minggu landaikan kes Covid-19

PUTRAJAYA 13 Jan. – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan tempoh 12 minggu bagi mengawal semula kedudukan kes Covid-19 di negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkaan untuk melandaikan kes Covid-19 pula adalah pada bulan Mei depan.

Katanya, sekurang -kurangnya empat minggu diperlukan bagi mengurangkan bilangan jangkitan Covid-19 di negara ini kepada bawah 1,000 kes baharu sehari.

“Pada hemat saya, dalam tempoh dua minggu kita tidak boleh mengurangkan namun boleh mengelakkan kes semakin bertambah,” katanya

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini masih terlalu awal untuk meletakkan unjuran Covid-19 dan jangkaan itu juga bergantung kepada tahap kepatuhan masyarakat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pelaksanaan PKP bagi tempoh dua minggu ini akan diteliti dan perkara tersebut bergantung kepada situasi semasa Covid-19.

“Kita telah berada di landasan yang betul dan kita harap kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) PKP,” katanya.

Katanya, jika semua orang boleh duduk di rumah dalam tempoh dua minggu, insyaAllah kita boleh putuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Dari dulu lagi kita katakan kalau setiap rakyat Malaysia patuh kepada SOP, kita boleh putuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata jika ada keperluan untuk keluar rumah pastikan SOP dipatuhi, pakai pelitup muka, cuci tangan dan sebagainya.

Related posts

Leave a Comment