JEDDAH – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan Ahad ini (13 April) sebagai tarikh akhir kemasukan jemaah umrah, manakala 29 April tarikh akhir meninggalkan Arab Saudi bagi memberi laluan kepada musim haji akan datang.
Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), mana-mana individu yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut peraturan yang ditetapkan.
Kementerian turut meminta orang ramai serta syarikat dan institusi yang menguruskan jemaah umrah untuk mematuhi segala peraturan berkaitan.
Pihak kementerian menegaskan bahawa sebarang pelanggaran akan dianggap sebagai kesalahan, dan kegagalan sesebuah syarikat melaporkan kelewatan kepulangan jemaah boleh mengakibatkan denda sehingga 100,000 riyal Saudi, selain tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.