SETIAP KESUKARAN DISERTAI KEMUDAHAN

Syukur Alhamdulillah, kita dapat melangkah ke tahun 2021, pada hari penuh barakah, Jumaat 17 Jamadilawal 1442H. Diharapkan permulaan tahun baharu pada hari penghulu segala hari ini akan membawa sesuatu yang lebih baik selepas hampir setahun kita diselubungi keresahan akibat pandemik Covid-19.

Banyak perkara yang tidak dapat dilakukan sepanjang tahun 2020. Dalam erti kata lain tahun 2020 mengubah kehidupan setiap makhluk di muka bumi ini.

Kebiasaan bertukar menjadi luar biasa. Kita diminta untuk hidup dalam suasana norma baharu di mana sesuatu yang tidak kita lakukan perlu dilakukan dan sesuatu yang menjadi kebiasaan, tidak boleh dilakukan. Kita kini ‘dipandu’ norma baharu kehidupan atau Prosedur Operasi Standard (SOP).

Hakikatnya di sebalik semua ini, kita sudah ditunjukkan tentang kekuasaan Allah SWT, diperingatkan sesuatu nikmat kehidupan yang boleh direntap dalam sekelip mata. Banyak nikmat yang tiba-tiba kita terasa kehilangannya dalam kehidupan ini. Setiap orang terasa sesuatu yang mereka hilang sepanjang pandemik Covid-19.

Jika ditanya apa azam atau cita-cita pada tahun 2021 ini, jawapannya bukan lagi untuk mendapat itu dan ini tetapi setiap orang ingin menikmati semula kehidupan sebelum Covid-19. Dalam erti kata lain Covid-19 berlalu dan diangkat pergi atau sekurang-kurangnya memperoleh penawar atau vaksin terhadap wabak ini.

Azam dan cita-cita kita tahun ini sudah tentulah ingin kembali kepada kehidupan normal dalam apa juga bidang sama ada agama, ekonomi, pendidikan, sukan, sosial, pelancongan dan pelbagai lagi, kita ingin kembali kepada kehidupan seperti biasa. Susah senang tanpa Covid-19, musuh yang tidak kelihatan.

Pastinya kita juga mahu anak-anak dapat ke sekolah dan universiti, mereka yang hilang kerja mendapat semula pekerjaan, yang menganggur juga ada peluang kerja, pergerakan bebas seperti masa lalu, peniaga terus berniaga, guru dan pensyarah terus mengajar di kekas, ahli sukan terus beraksi di gelanggang dan pelbagai lagi.

Kita juga ingin menikmati suasana ibadah pada bulan Ramadan dan Syawal seperti biasa. Kita ingin merapatkan semula saf ketika solat berjemaah di surau dan masjid dengan pengisian kuliah Subuh dan Maghrib, menunaikan umrah dan haji tanpa banyak sekatan atau SOP dan pelbagai lagi yang kini ‘dilarang’.

Semoga hasrat ini tercapai sambil kita menginsafi untuk menghargai kehidupan ini dengan penuh kesyukuran. Muhasabah diri untuk menjadi mukmin yang terbaik. Muhasabah membersihkan diri daripada kejahilan serta dosa. Berazamlah untuk menjadi umat yang patuh perintah Allah SWT.

Ketika kita patuh perintah kerajaan ketika wabak ini, kenapa tidak untuk kita lebih bersedia mematuhi perintahNya. Insaflah!

Kepada pembaca selak-selak.com terima kasih kepada anda semua yang sudi singgah di laman ini walaupun ini bukan saluran maklumat berita tetapi satu rakaman peristiwa yang sempat saya rakamkan di sini sebagai bahan rujukan penulisan.

Seperti ditegaskan sebelum ini, selak-selak.com lebih kepada membuka ruang untuk saya menulis selepas persaraan dalam dunia kewartawanan. Dan yang lebih penting tempat untuk merujuk koleksi Selak yang pernah disiarkan setiap Isnin di Utusan Malaysia tidak lama dulu.

Begitu juga dengan tulisan yang dibuat di Facebook dan sebagainya. Semoga bahan-bahan ini bermanfaat kepada semua untuk rujukan. Pernah ada yang bertanya mengenai beberapa bahan atau isu tertentu yang pernah saya tulis dan saya beritahu rujuklah selak-selak.com dan carilah bahan berkenaan.

Di samping isu semasa, di sini juga saya menyimpan bahan-bahan berkaitan Masjid, al-Quran, Hadis, Peribahasa, Lensa, Kartun, Selera, Santai (lokasi menarik). Harapan saya ia dapat membantu pembaca yang singgah di laman ini. Ada cadangan saya membukukan Selak dan sebagainya tetapi bagi saya era buku sudah berlalu.

Akhir kalam, marilah kita renungi maksud ayat daripada surah Ash-Syar-h (94 : 1-8)
yang antara lain menyebut “Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”.

“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ? ; Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) -; Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? ; Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? ; Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,; (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.; Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),; Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

SELAMAT TAHUN BAHARU 2021

Related posts

Leave a Comment