Al-Furqaan ayat 25:25

25. Dan pada hari pecah belah langit dengan awan” 
Pada hari langit pecah mengeluarkan awan putih. Pada hari itu langit menjadi lemah, pecah dan terbelah. Lalu mengeluarkan kabut atau awan putih, iaitu naungan yang berupa cahaya yang amat besar lagi menyilaukan mata. Awan inilah tempatnya Allah s.w.t. turun.
“dan diturunkan malaikat sebenar-benar turun.” 
Para malaikat diturunkan secara bergelombang. Terbelahlah langit yang paling bawah. Para penghuninya turun, lalu berdiri berbaris-baris mengelilingi jin, manusia, dan semua makhluk lainnya di padang mahsyar. Penghuni langit pertama jauh lebih banyak daripada semua makhluk di bumi.
Terbelah pula langit yang kedua. Para penghuninya turun, lalu mengelilingi para malaikat penghuni langit pertama dan makhluk bumi. Jumlah mereka jauh lebih banyak daripada para penghuni langit terbawah dan semua makhluk yang telah ada.
Demikianlah seterusnya hingga terbelahlah langit yang ketujuh. Penduduk setiap langit turun dalam jumlah yang jauh lebih besar daripada sebelumnya berkali ganda. Lalu mereka mengelilingi para malaikat yang telah turun sebelum mereka dari kalangan penduduk langit, jin, manusia serta semua makhluk lainnya.
Kemudian datanglah Allah s.w.t. dalam naungan awan putih, sedangkan di sekitarNya terdapat malaikat-malaikat karubiyyin yang tinggal di bawah ‘Arasy. Jumlah malaikat karubiyyin jauh lebih banyak daripada semua penduduk langit yang tujuh lapis, jin, manusia dan semua makhluk. Mereka mempunyai tanduk seperti mata-mata tombak, suara mereka gemuruh mengucapkan tasbih, tahlil, dan taqdis kepada Allah s.w.t.
Kemudian turunlah lapan malaikat pemikul atau penyangga ‘Arsy sambil memuji Allah s.w.t. Apabila penduduk bumi melihat ‘Arasy turun kepada mereka dari atas, maka semua pandangan mata terbelalak memandang ke arahnya, semua persendian tulang mereka bergetar, dan kalbu mereka beralih dari tempatnya di dada mereka menuju ke tenggorokan mereka. Ketika itu, tidak ada seorang pun yang berani berbicara kecuali dengan izin Allah.

Related posts

Leave a Comment