#SGUnited Buka Puasa

MAJLIS Ugama Islam Singapura (MUIS) dengan kerjasama beberapa pertubuhan mengambil inisiatif melancarkan #SGUnited Buka Puasa yang akan menyediakan juadah berbuka puasa bagi mereka yang memerlukan termasuk penerima zakat dan pekerja barisan hadapan yang sedang berusaha menangani wabak Covid-19.

Menurut laman Facebook MUIS, kerjasama itu melibatkan masjid-masjid, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Persatuan Rakyat (PA) , Roses of Peace dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Ketua Eksekutif MUIS, Esa Masood berkata inisiatif tersebut sebagai tanda menzahirkan penghargaan serta kesepakatan masyarakat kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan untuk melawan Covid-19 serta menyokong golongan yang terjejas teruk angkara penularan wabak itu.

“Setiap kali bulan Ramadan, biasanya, terdapat banyak sumbangan di masjid-masjid kita untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama.

“Walaupun masjid-masjid kita ditutup pada bulan Ramadan ini, MUIS dan masjid-masjid berbesar hati serta komited untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif yang bermakna ini bagi menghidupkan kembali semangat kemasyarakatan kita dan menunjukkan kesepakatan dengan para pekerja jagaan kesihatan selain mereka yang terjejas oleh krisis berterusan ini.”, katanya.

Sepanjang bulan Ramadan ini, sasaran 15,000 juadah akan dihantar ke 10 hospital, 20 Kelab Masyarakat (CC) dan rumah para penerima zakat.

Bagi menggerakkan dana, MUIS akan menyumbang S$1 juta sementara RLAF juga akan melancarkan pengumpulan dana khas menerusi Giving.SG untuk mendapatkan derma daripada orang ramai bagi mengumpulkan lagi S$1.5 juta. Semua itu diharapkan dapat mencapai sasaran bagi pengumpulan dana projek S$2.5 juta.

Dana itu kemudiannya akan disalurkan melalui DPPMS kepada syarikat-syarikat tempatan seperti katerer dan khidmat penghantaran yang akan menyediakan serta menghantar makanan kepada mereka yang layak menerima sumbangan itu.

Langkah ini secara tidak langsung kata Pengarah Eksekutif DPPMS, Azrulnizam Shah Sohaimi membolehkan DPPMS bekerjasama dengan anggotanya dalam industri makanan dan minuman (F&B) dalam menghadapi cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Sementara itu melalui FB Masagof Zulkifli, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menyatakan rasa  bangga dengan inisiatif kerjasama badan-badan Melayu/Islam itu.

“Usaha ini membolehkan kita untuk menyokong keluarga yang memerlukan dengan menyediakan beraneka sajian buka mereka. Makanan akan disiapkan syarikat F&B Melayu/Islam, dan mereka akan menghantar makanan ke pusat pengedaran beberapa balai rakyat di merata Singapura. Ekosistem ini sekaligus menyelaras usaha menyokong para peniaga yang terjejas oleh krisis ini.

“Ayuh, kita sokong usaha mulia ini. Inilah nilai kewarganegaraan yang kita harus tonjolkan bersama, menyumbang pada yang memerlukan di masa yang mencabar ini. Dan mendapat pahala Ramadan!,” katanya.

Related posts

Leave a Comment