20,085 korban di Indonesia

JAKARTA 21 Dis. – Indonesia merekodkan 205 lagi kematian menjadikan jumlah kumulatif korban akibat Covid-19 meningkat kepada 20,085 orang.

Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 pula melonjak kepada 671,788 kes setelah 6,848 lagi kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Kes harian yang direkodkan Jakarta adalah 1,466 kes, Jawa Tengah 997, Jawa Timur 837, Jawa Barat 716, Sulawesi Selatan 559, Kalimantan Tengah 296, Kalimantan Timur 211, Banten 190, Yogyakarta 186 dan Kepulauan Riau 154.

Berdasarkan data Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, kes tertinggi direkodkan Provinsi Jakarta dengan 164,557 kes, dan  jumlah kematian keseluruhan 3,087 orang.

Situasi itu menyebabkan mulai 18 Disember lepas, pemerintah Jakarta mewajibkan mereka yang keluar dan masuk ke provinsi berkenaan perlu menjalani ujian swab test atau ujian rapid antigen.

Bagi kes sembuh pula, sebanyak 5,073 lagi pesakit pulih dan ini menjadikan jumlah mereka yang sembuh meningkat kepada 546,884 orang.

Sementara itu, Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati dipetik agensi berita Antara, berkata kos pembiayaan vaksin untuk rakyat Indonesia dianggarkan mencapai Rp54.44 trilion.

Pada, 16 Disember lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat republik berkenaan.

Indonesia menerusi Lembaga Biologi Molekuler Eijkman (LBM) badan di bawah Kementerian Riset dan Teknologi Indonesia telah bekerjasama dengan syarikat biofarmaseutikal dari China, iaitu Sinovac Biotech untuk melakukan penyelidikan vaksin Covid-19.

Menerusi kerjasama itu, Indonesia juga membangunkan vaksin Merah Putih dan dijangka mampu mengeluarkan 290 juta dos vaksin menjelang pertengahan 2021.

Pada 6 Disember lepas, Indonesia turut menerima 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China, manakala 1.8 juta dos lagi vaksin itu akan diterima pada awal Januari 2021.

Related posts

Leave a Comment