SINGAPURA 14 Dis. – Perdana Menteri Lee Hsien Loong, menghargai semangat kerjasama warga negara itu yang bersama-sama mematuhi undang-undang bagi mengawal koronavirus Covid-19.
“Kita kekal bersatu, sentiasa berjaga-jaga dan tidak membenarkan diri kita mudah berpuas hati dari masa ke masa,” katanya dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen.
Sambil berbangga dengan pencapaian selama ini, beliau berkata berikutan sokongan penuh setiap orang, langkah berjaga-jaga yang dikuatkuasakan berjaya dan pemerintah boleh melonggarkan sekatan yang dilaksanakan.
Justeru, Singapura yang akan memasuki fasa ketiga pembukaan semula dalam masa dua minggu lagi pada 28 Disember, akan menamatkan tahun 2020 dengan berita baik.
Menurutnya, saiz kumpulan yang dibenarkan bagi perhimpunan sosial akan ditambah dari lima hingga lapan, dengan had tampungan di ruang awam seperti pusat beli-belah, daya tarikan dan ruang sembahyang akan ditambah.
Katanya, hampir setahun sejak kes Covid-19 pertama di Singapura dikesan pada 23 Januari lalu, banyak telah berubah dalam tempoh beberapa bulan lalu, dengan Singapura berjaya mengurangkan bilangan kes jangkitan Covid-19 baharu.
Dari lebih 1,000 kes pada Mac dan April lalu kepada sifar kes jangkitan tempatan bagi kebanyakan hari kini.
Mengenai vaksin Covid-19, beliau berkata dirinya dan rakan-rakan Kabinet akan mendapatkan suntikan vaksin ini awal bagi menunjukkan keyakinan terhadap pengesahan pakar di Singapura yang memberi kebenaran menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech bagi kegunaan pandemik.
“Ini adalah bagi menunjukkan kepada anda, khususnya warga emas seperti saya, bahawa kami mempercayai vaksin ini selamat,” katanya.
Beliau juga berkata vaksin itu akan diberi percuma kepada semua warga Singapura dan penduduk yang menetap di negara itu buat jangka masa panjang.
Mereka yang berisiko paling besar termasuk pekerja jagaan kesihatan dan pegawai barisan hadapan serta warga emas dan golongan yang mudah dijangkiti akan diberi keutamaan terlebih dahulu.
Selepas itu, jawatankuasa yang terdiri daripada doktor dan pakar yang dibentuk Kementerian Kesihatan akan mengusulkan untuk menjalankan vaksinasi secara beransur-ansur buat penduduk lain dan memberikannya kepada setiap orang yang memerlukan vaksinasi menjelang akhir tahun ini.