Perjalanan ibadah haji, korban dan pengorbanan politik

MASIH belum terlewat untuk me- ngucapkan Salam Aidiladha. Hari ini hari terakhir umat Islam yang berkemampuan melakukan ibadah korban, iaitu sembelihan haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan unta. Tentu ramai yang kekenyangan dengan daging korban yang disumbangkan. Di negara kita, mereka yang berada turut merasai daging korban ini berbanding di negara lain, orang miskin berebut-rebut mendapatkan daging korban itu. Semoga mereka yang benar-benar memerlukan mendapat habuan masing-masing. Pada masa yang sama diharap mereka yang berkorban benar-benar jujur dan ikhlas dan tidak timbul cakap-cakap belakang seperti yang pernah terjadi sebelum ini. Lembu sudah dikorbankan, daging sudah diagih dan dimakan tetapi macam-macam cerita keluar sehingga ada yang begitu sensitif apabila disebut lembu. Semoga ibadah yang dibuat tidak terbawa-bawa sehingga ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pastinya di dua kota suci iaitu Mekah dan Madinah, sambutan lebih meriah. Semoga saudara mara kita, sahabat handai dan kenalan yang berada di sana dapat menjalani ibadah mereka dengan sempurna. Setakat ini, tidak ada masalah besar dihadapi jemaah kita. Pada masa yang sama diharapkan Tabung Haji (TH) pada masa depan dapat memastikan syarikat-syarikat swasta benar-benar dapat menguruskan jemaah mereka dengan baik. Kita tidak mahu peristiwa jemaah terkandas berulang lagi seperti yang berlaku di Kompleks Haji Kelana Jaya. Ini soal ibadat bukannya hendak melancong. Khabarnya, syarikat berkenaan dipercayai mengambil jemaah melebihi kuota yang diberikan. Akibatnya, jemaah tidak mendapat visa dan penerbangan. TH perlu lebih tegas dalam perkara ini bagi memastikan syarikat berkenaan tidak mengulangi kesilapan mereka yang menyusahkan banyak pihak sekaligus menjejaskan imej TH. Tindakan yang boleh diambil ialah denda, senarai hitam, menggantung atau membatal lesen mengendalikan pakej haji pada masa depan.

Dalam pada itu, bagi mereka yang belum berkesempatan ke Mekah bolehlah terus berazam untuk ke sana pada tahun-tahun akan datang. Seperti azam Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang hasratnya tidak kesampaian menunaikan haji bersama keluarga tahun ini akibat pendedahan oleh penulis blog (bukan media cetak yang mendedahkannya) mengenai berita penajaan ke kota suci itu. Bak kata orang betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya. Itulah dilema dihadapi Tok Guru. Tetapi dalam lumrah kehidupan manusia ini, kalau tiada angin bertiup takkan pokok bergoyang. Kenapa ini terjadi? Satu persatu isu yang membabitkan Menteri Besar (MB) Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas itu ditimbulkan. Ibarat kata, Tak tumbuh, tak melata, tak sungguh, orang tak kata (kalau orang bercakap, tentulah ada benarnya). Begitulah hebatnya cubaan dan dugaan yang dihadapi oleh MB Kelantan itu. Beliau terpaksa berkorban dan melakukan pengorbanan demi nama baik diri, keluarga dan parti.

Seperti yang diakui Nik Aziz, beliau mengalami tekanan perasaan sejak kebelakangan ini disebabkan timbulnya isu mengenai menantunya itu. Jiwanya terganggu! Begitulah hebatnya dunia politik. Orang politik mesti ‘masak’ dengan asakan seumpama ini. Cuba selak kembali bagaimana pemimpin politik lain seperti dari UMNO yang terpaksa menghadapi masalah yang sama. Contohnya dua mantan Perdana Menteri (PM) kita, Dr. Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi juga pernah menghadapi asakan dan cabaran seperti ini. Bukan sedikit cerita berkaitan anak dan menantu dijadikan modal politik oleh puak-puak sebelah sana. Ketika itu, anak dan menantu PM dijadikan sasaran. Puak-puak di sebelah sana bukan main hebat ‘membelasah’ PM ketika itu. Bagaikan pesta menghentam. Tetapi lain pula ceritanya apabila puak sebelah sana yang membuat silap. UMNO tidaklah menggunakan kesempatan tersebut untuk membelasah habis-habisan walaupun sudah mendapat ‘bola tanggung’. Kalau dalam sukan badminton atau sepak takraw, UMNO tidak menggunakan peluang membuat smash atau libasan maut bagi mematikan serangan lawan. Pendekatan UMNO amat sederhana dalam memerangi pelbagai tohmahan musuh politik mereka. Agaknya itulah bezanya politik puak sebelah sini dan puak sebelah sana.

Maka sempena Hari Raya Korban ini, eloklah kita sama-sama berkorban untuk membuang sikap, perangai, tindakan atau kelakukan buruk yang suka ‘membelasah’ orang tidak tentu pasal. Korbankan perasaan hasad dengki, cemburu, khianat, prasangka buruk dan macam-macam lagi yang boleh menyakitkan hati sesama umat.

Ingatlah dalam politik, macam-macam boleh jadi. Ia ibarat roda. Hari ini kita seronok mengata orang, mungkin esok orang akan mengata kita. Mana nak cari dalam dunia sekarang, orang yang benar-benar maksum (terpelihara atau bebas daripada dosa, tidak tercela). Mungkin maksum yang ada hanyalah sekadar pada nama. Saya juga mempunyai seorang sahabat bernama Md. Som yang sama-sama mengerjakan umrah melalui syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. Alhamdulillah, Md. Som ni memang bertuah kerana pergi umrah bersama saya pada bulan Mei dan di Mekah berazam untuk segera menunaikan haji. Akhirnya pada tahun yang sama, Md. Som dapat menunaikan haji juga melalui syarikat swasta. Itulah tuah Md. Som.

Begitulah kedudukan kita manusia di muka bumi ini. Kadangkala kita bernasib baik dan kadangkala kita tidak bernasib baik. Begitu juga halnya dengan kesilapan yang dilakukan. Semua orang pernah tersilap. Bak kata orang bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Dalam kehidupan ini, adakalanya tepuk air di dulang terpercik muka sendiri (mendedahkan aib keluarga sendiri), mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih (mencari salah orang, diri sendiri lebih banyak salah). Malahan ada kalanya walaupun kita sedar tindakan kita adalah satu kebodohan tetapi kita lakukan juga sama seperti meludah ke langit muka juga yang basah (perbuatan yang memalukan diri sendiri). Maka pandai-pandailah membawa diri. Insaflah kita ini manusia. Masing-masing ada kelemahannya. Maka kalau takut kena getahnya, jangan makan nangka!

 

UM301109-min

Related posts

Leave a Comment