Kes naik di Indonesia, Thailand

KEMENTERIAN Kesihatan Indonesia melaporkan 5,489 lagi kes baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam (12 tengah hari Ahad hingga 12 tengah hari Isnin) menjadikan jumlah kumulatif jangkitan positif  meningkat kepada 623,309 kes.

Bagi tempoh yang sama, sebanyak 137 lagi pesakit meninggal dunia menjadikan jumlah kematian akibat virus itu meningkat kepada 18,956 kes.

Sementara itu jumlah pesakit pulih meningkat kepada 510,957 orang termasuk 5,121 yang dilaporkan sembuh hari ini.

Jakarta terus mencatatkan jumlah tertinggi jangkitan dengan 1,506 kes baharu menjadikan keseluruhan jangkitan kes di bandar raya itu 154,005 kes.

Sementara itu, Jawa Tengah melaporkan 979 kes baru, Jawa Timur (713), Jawa Barat (600), Sulawesi Tenggara (295) dan Banten (138).

Kementerian itu juga melaporkan 29,376 orang menjalani ujian saringan pada Isnin menjadikan jumlah yang telah menjalani ujian seramai kira-kira 4.31 juta orang.

Sementara itu Thailand mencatatkan 28 kes baharu Covid-19 termasuk satu penularan tempatan dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan keseluruhan kes jangkitan dilaporkan kepada 4,237 dan 60 kematian.

Sejumlah 27 kes import Covid-19 dilaporkan termasuk enam warga Thai yang kembali dari bandar di sempadan Myanmar, Tachileik.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata kes penularan tempatan melibatkan seorang kakitangan perubatan berusia 27 tahun di sebuah hospital swasta di Bangkok yang merupakan kontak rapat kepada seorang pesakit yang disahkan positif.

Setakat ini, tujuh petugas perubatan berusia antara 25 hingga 40 tahun di Bangkok didapati positif selepas saringan.

Related posts

Leave a Comment