Filipina 934, Thailand 14 kes

FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 4 Disember 2020, mencatatkan 934 kes tambahan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif 436,345 kes.

Menurut Jabatan Kesihatan, sebanyak 63 pesakit dilaporkan meninggal dunia dan ini membawa kepada 8,509 kematian.

Kes sembuh yang direkodkan hari ini adalah 148 yang meningkatkan jumlah pesakit sembuh sebanyak 399,457 atau 91.5 peratus daripada keseluruhan kes.

Kes aktif pula sebanyak 28,379 atau 6.5 peratus daripada keseluruhan kes.

THAILAND merekodkan 14 kes baharu Covid-19 termasuk satu kes tempatan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,053 kes dengan kematian kekal 60 orang.

Kes tempatan melibatkan seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja di pusat hiburan yang mempunyai kontak rapat kepada pesakit yang menyelinap masuk melalui Tachileik, Myanmar dan melanggar arahan kuarantin.

Dia kini sedang menerima rawatan di Hospital Chiang Rai.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), lelaki itu adalah kontak rapat wanita yang dijangkiti dari wilayah Phayoo yang pulang dari Myanmar.

Baki 13 kes melibatkan mereka yang dikuarantin selepas tiba dari Ukraine, Nepal, Netherlands, Republik Czech, Norway, Jerman, Amerika Syarikat dan Myanmar.

Daripada 4,053 kes yang dijangkiti, sebanyak 94.7 peratus atau 3,839 dilaporkan pulih termasuk tujuh pesakit yang sembuh hari ini.

SINGAPURA merekodkan tiga kes baharu Covid-19 setakat tengah hari Jumaat 4 Disember.  Semua kes merupakan jangkitan diimport yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Menurut Kementerian Kesihatan , tiada kes baru jangkitan tempatan dilaporkan hari ini.

Related posts

Leave a Comment