Arak: CAP sokong ketegasan PM

TANJONG 9 Okt .- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong penuh ketegasan  Anwar Ibrahim yang melarang hidangan minuman keras di semua majlis rasmi anjuran kerajaan, kata Pegawai Pendidikan Kanan CAP, NV Subbarow.

Katanya , larangan itu bukan sahaja selaras dengan nilai moral dan budaya masyarakat Malaysia, tetapi mencerminkan prinsip integriti dan etika dalam pentadbiran awam.

“Walaupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjelaskan bahawa minuman keras hanya dihidang selepas selesai acara rasmi, tindakan itu tetap tidak wajar dan mencemar etika penganjuran acara kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, insiden yang berlaku adalah tidak beretika dan amat memalukan kerana melanggar garis panduan yang ditetapkan.

“Ia juga mencabul prinsip etika pentadbiran awam yang perlu dipatuhi bukan sahaja oleh penjawat awam, tetapi juga oleh ahli Kabinet,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Subbarow berkata, CAP berpendapat segala bentuk penganjuran majlis rasmi kerajaan perlu mencerminkan nilai moral, agama dan akhlak yang menjadi tunjang kepada kemakmuran negara

Katanya tindakan membenarkan arak dihidang dalam majlis rasmi memberi isyarat salah kepada generasi muda serta menghakis nilai budaya timur yang selama ini menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

“Amaran oleh Perdana Menteri perlu dilihat sebagai mesej jelas kepada semua pihak supaya tidak mengulangi kesilapan sama. Kerajaan juga digesa supaya mengambil langkah lebih tegas mengharamkan rokok dan vape di semua acara dan majlis rasmi.

“Jika kerajaan benar-benar ingin mendidik masyarakat ke arah kehidupan sihat dan bermaruah, larangan ini wajar dikuatkuasa tanpa kompromi,” katanya lagi.

Sebelum ini, Anwar memberi amaran keras kepada menteri serta kementerian berkenaan supaya memastikan kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.

Beliau berkata, penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.

Nnn

Related posts

Leave a Comment