SHN bagi pelawat Malaysia

MULAI tengah malam ini (22 Nov.), semua pengunjung ke Singapura yang berada di Malaysia dalam tempoh 14 hari sebelum itu perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di kemudahan yang disediakan.

Langkah sama yang turut dikenakan ke atas pelawat dari Jepun itu diputuskan Pasukan Bertindak Pelbagai Kementerian yang diumumkan melalui satu kenyataan media oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Keputusan itu dibuat berikutan peningkatan kes di kedua-dua negara berkenaan.

Selain itu, mulai 11.59 malam 27 November, pengunjung ke Singapura yang melawat Malaysia dalam tempoh 14 hari sebelum itu perlu mengambil ujian reaksi rangkaian polimerase (PCR) Covid-19.

Semua pengunjung, kecuali warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR), dikehendaki menjalani ujian itu 72 jam sebelum bertolak ke Singapura.

Ini turut merangkumi pengunjung yang memasuki Singapura untuk bekerja di bawah Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) dan aturan Laluan Hijau Salingan (RGL).

Pengunjung perlu menunjukkan hasil ujian Covid-19 yang negatif sebagai syarat untuk memasuki Singapura.

Bagi mereka yang melawat Jepun dalam tempoh 14 hari sebelum itu juga perlu menjalani SHN, walaupun mereka telah memperoleh kebenaran untuk tidak menjalani SHN sebelum itu.

Ia juga merangkumi pengunjung di bawah RGL Singapura-Jepun.

Sementara itu, Kementerian Tenaga Kerja (MOM) menarik balik pas kerja empat lagi pemegang pas kerja kerana melanggar tuntutan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), sejak tiga bulan lalu.

Menurut kenyataan MOM, mereka meninggalkan tempat penginapan tanpa sebab sah dan tanpa kebenaran MOM semasa tempoh SHN.

Tiga daripada mereka pemegang pas kerja dan seorang pemegang Pas S.

Dua daripada mereka dikesan oleh MOM menerusi Smartwatch, yang dikeluarkan oleh MOM. Dua lagi, yang menjalani SHN di kemudahan khas dan tidak perlu memakai Smartwatch, dilapor oleh seorang orang awam dan seorang majikan.

Sejak 1 Mei, MOM menarik balik 44 pas kerja kerana melanggar tuntutan SHN.

Majoriti daripada pemegang pas kerja mematuhi tuntutan tersebut bagi menolong usaha melindungi kesihatan dan keselamatan orang ramai, ujar MOM.

Related posts

Leave a Comment