PUTRAJAYA 18 Nov. – Darurat yang diisytiharkan di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat di Batu Sapi, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan
Ini kerana jelasnya, tindakan itu hanya untuk membatal dan menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat.
“Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera. Pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan serta SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sedang berkuat kuasa di negeri Sabah,” jelasnya.
Muhyiddin pada masa sama memberi jaminan bahawa sebaik pandemik Covid-19 kembali reda, PRK itu akan diadakan dengan secepat mungkin.
“Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan Nasional ingin memberi jaminan bahawa apabila pandemik Covid-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera.
“Ia tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila PRK diadakan kelak, para pengundi akan dapat melaksanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram,” tambahnya.
Lima faktor dorong penangguhan PRK Batu Sapi.
1) Faktor ancaman terhadap kesihatan awam
Pengalaman Pilihan Raya Umum Negeri Sabah menunjukkan bahawa pilihan raya yang diadakan ketika Covid-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ketiga wabak ini di dalam komuniti.
Walaupun SOP yang ketat boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, namun pematuhan kepada SOP didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak ini sukar dibendung.
2) Pihak SPR menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya
Ini disebabkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan Covid-19 ketika bertugas.
Risiko jangkitan dalam kalangan petugas pilihan raya tidak boleh dipandang ringan kerana mereka akan berurusan secara langsung dengan para pengundi yang berkemungkinan terdedah kepada wabak Covid-19.
Disebabkan kebimbangan ini, setakat 6 November 2020, SPR hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya, iaitu 17.1% sahaja berbanding 837 orang yang diperlukan bagi pelaksanaan PRK Batu Sapi.
3) Faktor pergerakan rentas daerah
Pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan COVID-19 ke daerah-daerah lain di negeri Sabah.
Sebagai contoh, pegawai-pegawai SPR yang berkhidmat di Kota Kinabalu akan bergerak ke Sandakan untuk membantu melaksanakan PRK Batu Sapi.
Perjalanan mereka sejauh 370 kilometer akan melalui beberapa daerah seperti Tuaran, Ranau, Telupid dan Beluran. Daerah-daerah ini adalah daerah yang dikategorikan sebagai kawasan merah atau kuning.
4) Kebimbangan mengenai risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pengundi
Kebimbangan mengenai risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pengundi di Batu Sapi, terutamanya warga emas yang merupakan golongan berisiko tinggi.
Daripada 32,962 pengundi berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, seramai 7,377 orang atau 22.3 peratus adalah pengundi berumur 60 tahun ke atas.
Jika pilihan raya diadakan dan mereka keluar mengundi atau mengikuti aktiviti kempen pilihan raya, tiada jaminan bahawa mereka tidak akan terkena jangkitan Covid-19 yang boleh membawa maut.
5) Kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk
Kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi dan Daerah Sandakan sekiranya penularan Covid-19 berlaku secara mendadak selepas pilihan raya kecil diadakan.
Pada masa ini pun, kesan ekonomi amat dirasai oleh rakyat yang terpaksa melalui kehidupan yang sukar. Ada yang kehilangan pekerjaan dan putus mata pencarian akibat wabak ini.
Kerajaan sedang berusaha untuk mengawal penularan Covid- 19 terutamanya di negeri Sabah yang pada masa ini telah menunjukkan tanda-tanda yang agak positif dengan jumlah kes baharu semakin berkurangan.
