Demi keselamatan rakyat

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19..

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, dilaksanakan sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Al Sultan Abdullah bertitah, amatlah wajar Pilihran Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

Menurut beliau, Al Sultan Abdullah mengisytiharkan darurat di Batu Sapi selepas berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara pada pukul 4 petang tadi.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempersembahkan nasihat beliau, susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri, berkenaan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sabah untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.

“Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, Al-Sultan Abdullah telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi P.185 Batu Sapi, Sabah,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata, segala prosiding yang telah dimulakan bagi PRK P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan bagi tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan suatu tarikh lain akan ditetapkan bagi PRK itu.

Baginda juga, kata Ahmad Fadil, amat prihatin terhadap keselamatan rakyat jelata ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sabah ke-16 yang diadakan pada 26 September, 2020.

Berdasarkan data SPR, jumlah pemilih berdaftar di P.185 Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya berada di luar bahagian Parlimen termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

Dianggarkan sejumlah 16,000 pemilih beralamat umum, iaitu tiada nombor rumah dan akan menyukarkan pelaksanaan undi pos.

“Perkenan Seri Paduka Baginda ini juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian P.185 Batu Sapi yang dijangka akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi,” kata Ahmad Fadil.

Related posts

Leave a Comment