Vaksin percuma di Greece

ATHENS: Greece akan memberikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada rakyatnya apabila vaksin itu diperoleh, kata Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis.

Beliau berkata negara itu akan menerima penghantaran pertama vaksin pada awal 2021 dan vaksin itu diberi percuma tanpa pengecualian.

Kenyataan dibuat semasa beliau mempengerusikan mesyuarat menteri mengenai strategi vaksinasi kerajaan untuk Covid-19.

“Saya menegaskan tentang akses percuma vaksin kepada seluruh rakyat Greece, kerana kerajaan ini menggangap vaksin sebagai harta awam dari mula,” katanya

Beliau memberitahu, lebih 25 juta dos diperuntukkan untuk Greece dan sebilangannya adalah dos berganda yang diperlukan.

“Kita mungkin berhak meminta lebih banyak lagi. Penghantaran pertama dijangka pada awal 2021,” katanya.

Greece sedang menghadapi lonjakan baharu virus itu yang memberi tekanan pada sistem kesihatan negaranya.

Pada Khamis, Greece mengumumkan rekod baharu jumlah kematian dan jangkitan koronavirus dengan lebih daripada 3,300 jangkitan baru yang disahkan dan 50 kematian.

Secara keseluruhan negara itu setakat ini mempunyai lebih 69,675 kes serta hampir 1,000 kematian.

Mitsotakis juga mengulangi permintaannya agar orang ramai mengehadkan diri hanya kepada pergerakan “benar-benar penting”.

Greece menguatkuasakan perintah berkurung pada sebelah malam bermula pukul 9 malam hingga 5 pagi.

Pengecualian hanya diberikan kepada pekerja kesihatan dan mereka yang bersiar hanya seketika.

Penutupan seluruh negara itu berkuat kuasa sejak 7 November.

Related posts

Leave a Comment