Biden semakin kukuh

KETIKA Donald Trump masih enggan mengaku kalah dan menegaskan masa yang akan menentukan siapa bakal menduduki White House Januari ini, Joe Biden semakin mengukuhkan kedudukan.

Selepas tujuh hari kiraan undi berlangsung, Biden dilaporkan memenangi negeri Georgia yang mempunyai 16 undi elektoral dan antara negeri yang menyaksikan persaingan sengit dengan rekod kemenangan konsisten untuk Republikan.

Menurut Edison Research, kemenangan itu sekali gus memberi harapan tipis untuk Trump mencabar kemenangan melalui tuntutan undang-undang dan kiraan semula undi.

Bagaimanapun Edison Research turut mengunjurkan North Carolina dimenangi Trump sekali gus memuktamadkan pilihan raya.

Biden memperoleh 306 undi elektoral manakala Trump ketinggalan dengan 232.

Angka itu memberi Biden kemenangan luar biasa ke atas Trump kerana menyamai rekod undi elektoral dimenangi Trump ketika mengalahkan Hillary Clinton pada 2016.

Walaupun undi popular tidak menentukan keputusan pilihan raya, Biden tetap mendahului dengan lebih daripada 5.3 juta undi.

Undi popularnya, pada 50.8 peratus, sedikit lebih tinggi daripada undi Ronald Reagan pada tahun 1980 ketika mengalahkan Jimmy Carter.

Sementara itu, Trump mendakwa tanpa bukti bahawa beliau jadi mangsa penipuan pilihan raya secara meluas dan menolak untuk mengakui kekalahan.

Pegawai pilihan raya negeri tidak melaporkan sebarang penyelewengan serius dan beberapa tuntutan perundangan Trump di mahkamah telah gagal.

Untuk memenangi penggal kedua, Trump perlu menukar kedudukan Biden di sekurang-kurangnya tiga negeri.

Bagaimanapun, setakat ini beliau gagal mengemukakan bukti bahawa beliau boleh melakukannya di mana-mana negeri.

Related posts

Leave a Comment