Jumaat tiga sesi di Singapura

SEMALAM, sempat mengikuti siaran langsung solat Jumaat dari Masjid Maarof di Jurong West Singapura. Alhamdulillah, mereka dapat solat berjemaah walaupun dengan tiga sesi, setiap sesi 150 jemaah.

Ini bermakna 450 orang dapat solat Jumaat dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk memakai pelitup muka. Jemaah masuk ke masjid dengan menggunakan token atau aplikasi TraceTogether.

Khutbah disampaikan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mengikut sesi.

Masjid Maarof antara 10 masjid di bawah program rintis Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang membuka tiga sesi solat Jumaat selama dua minggu, bermula semalaam, 13 November.

Masjid lain yang terlibat adalah masjid Al-Islah, Al-Istighfar, Darul Ghufran, An-Nur, Assyafaah, Yusof Ishak, Angullia, Sultan dan Al-Khair.

MUIS berharap dapat menambah hingga 250 jemaah pada setiap sesi.

Sementara itu, khutbah Jumaat bertajuk Memelihara Agama mengingatkan jemaah

supaya memperoleh ilmu agama yang muktabar, yang diajarkan hanya oleh mereka yang betul didikannya dan bertauliah.

Ini kerana ada yang memesongkan agama untuk kepentingan dan hawa nafsu diri sendiri, memesongkan agama untuk keganasan dan memesongkan agama kerana mereka terkeliru dan menyangka perbuatannya benar.

“Apabila kita mendahagakan panduan, janganlah sampai kita termakan kata-kata manis ataupun pujukan mereka, sedangkan perkara yang diajar adalah satu penyelewengan.

“Sama ada mereka mengaku boleh berbicara dengan Allah atau Nabinya, atau menghalalkan perkara yang terang-terang tidak dibenarkan agama, samada nikah secara batin, atau perjudian, atau keganasan dan kezaliman,” kata khatib.

Jemaah juga diingatkan tentang tanda ajaran yang meragukan adalah apabila seorang guru tidak memiliki sebarang pentauliahan dan kelas agama yang dikendalikan berjalan secara bersembunyi.

Untuk rekod, baru-baru ini Straits Times Singapura melaporkan bahawa seorang bekas tukang urut dalam lingkungan usia 50-an tahun, dipercayai mengadakan kelas agama di rumah-rumah, sebuah pejabat di Jalan Sultan dan kini, di sebuah restoran miliknya berdekatan kawasan bandar.

Antara ajaran yang dikatakan disampaikan lelaki itu termasuk, membeli 4D dan Toto supaya wang dari perjudian itu boleh digunakan untuk membantu masyarakat Muslim. Dia juga dilaporkan mempunyai lima isteri menerusi ‘nikah batin’.

MUIS mengesahkan bahawa lelaki berkenaan tidak disenaraikan dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Related posts

Leave a Comment