Indonesia cecah 440,569 kes

JAKARTA 9 Nov. – Indonesia terus mencatatkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 apabila merekodkan 2,853 kes baharu hari ini menjadikan kumulatif 440,569 kes.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 75 lagi kematian dilaporkan menjadikan 14,689 orang.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan kes keseluruhan tertinggi iaitu 112,743 kes dengan tambahan 726 kes manakala provinsi Jawa Timur merekodkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 3,913 orang.

Sebanyak 372,266 pesakit yang disahkan positif virus itu, telah sembuh manakala 57,925 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus tersebut.

Sementara itu FILIPINA merekodkan 2,058 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini sebanyak 398,449 dengan kes aktif 29,018.

Menurut Jabatan Kesihatan Filipina, sebanyak 108 pesakit meninggal dunia yang membawa kepada kumulatif kes kematian meningkat kepada 7,647.

Bagi kes sembuh pula, 182 lagi pesakit dilaporkan pulih menjadikan jumlah keseluruhan 361,784 kes atau 90.8 peratus daripada jumlah kes jangkitan.

THAILAND pula merekodkan tiga kes baharu, semuanya import yang membawa kepada jumlah keseluruhan 3,840 kes.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), dua kes melibatkan warga Ethiopia, lelaki dan wanita yang tiba 23 Oktober lalu dan disahkan positif dua minggu kemudian.

Seorang lagi, lelaki dari Oman tiba di Bangkok melalui Emiriyah Arab Bersatu pada Jumaat dan diuji positif.

Daripada 3,840 kes, sebanyak 3,661 kes sembuh manakala 119 masih mendapatkan rawatan di hospital. Kes kematian kekal 60.

Related posts

Leave a Comment