Angka ‘gerun’ jadi motivasi

KOTA KINABALU 6 Nov. – Angka yang menggerunkan. Itu gambaran oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun apabila kes positif Covid-19 yang dicatatkan di negeri itu hari inj sebanyak 1,199 kes.

Bagaimanapun katanya,  ia perlu dilihat dari sudut positif serta fakta kes.

Pertama peningkatan kes adalah disebabkan hasil ujian saringan melibatkan beberapa kluster seperti Kluster Rumah Merah dan Kluster Penjara yang telah pun diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan tidak melibatkan kawasan awam.

Kedua, angka yang tinggi ini harus menjadi motivasi kepada masyarakat khususnya di negeri Sabah untuk lebih patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan agar dapat memutuskan rantaian Covid-19.

Menurutnya lagi, kluster baharu di Keningau turut menyumbang kepada bilangan kes apabila Kluster Mempulut mencatatkan sebanyak 28 kes yang dikaitkan dengan sebuah majlis kenduri arwah.

Daripada 1,199 kes positif tersebut, sebanyak 556 kes adalah berpunca daripada Kluster Pusat Tahanan Sementara Tawau dan Kluster Penjara Sandakan, manakala selebihnya iaitu 643 kes adalah dari lain-lain kategori.

Masidi juga memaklumkan peningkatan kes sembuh melibatkan Kluster Penjara Kepayan yang masih diletakkan dalam PKPD sehingga 16 November 2020.

Sebelum ini seramai 2,701 orang telah disaring dan 1,652 orang didapati positif.

Sehingga hari ini, 1,607 orang disahkan sembuh manakala 585 masih positif dengan 14 orang sedang menerima rawatan di hospital.

Pada Jumaat, satu kematian direkodkan di Sandakan, menjadikan angka kematian akibat Covid-19 di Sabah sehingga 6 November 2020 adalah sebanyak 144 kes.

Daripada jumlah tersebut, 48 kes merupakan kematian di Unit Rawatan Rapi ICU.

Berdasarkan situasi semasa, kerajaan negeri juga mengesyorkan supaya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dijadualkan berakhir Isnin depan, dilanjutkan. Bagaimanapun  kerajaan negeri masih perlu mendapatkan pandangan serta nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenai perkara itu.

Sementara itu, daerah Beaufort dan Kota Marudu telah berubah dari zon merah ke zon jingga pada hari ini.

Daerah Tawau merekodkan kes tertinggi sebanyak 467 kes. Daripada jumlah ini, 372 kes adalah dari Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau. Manakala, 63 kes daripada saringan kontak rapat, 27 kes daripada saringan komuniti, empat daripada saringan bergejala dan satu kes daripada saringan sebelum bekerja.

Sandakan pula, daerah kedua tertinggi iaitu sebanyak 389 kes pada hari ini. Jumlah ini disumbang oleh Kluster Penjara Sandakan (184 kes), Kluster Mesra (44 kes), Kluster Ramai-Ramai (1 kes), Kluster Bomba  (1 kes), Saringan Kontak Rapat (131 kes), Saringan Komuniti (18 kes), Saringan Bergejala (6 kes), Saringan Kendiri (2 kes), Saringan pekerjaan (1 kes) dan Saringan Brought In Dead (BID) (1 kes).

Related posts

Leave a Comment