Kakitangan Parlimen negatif

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Dua kes positif Covid-19 yang dikesan hasil ujian saringan di Parlimen pada Rabu dan Jumaat lalu melibatkan seorang petugas media dan pegawai kepada ahli Dewan Negara, kata Ketua Pentadbir Parlimen Kamis Samin.

Katanya, kedua-dua kes itu telah diambil tindakan lanjut oleh Kementerian Kesihatan sejurus selepas keputusan ujian saringan diperoleh.

Ujian saringan yang dijalankan sebelum Dewan Rakyat bersidang itu melibatkan semua pegawai, kakitangan Parlimen termasuk polis bantuan, media rasmi dan Ahli Parlimen.

Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu, hasil saringan itu, semua kakitangan Parlimen adalah negatif dan bebas daripada jangkitan Covid-19. 

Katanya, pihak Parlimen telah menjalankan pelbagai usaha serta persediaan sewajarnya bagi mengekang penularan wabak Covid-19 untuk memastikan kelancaran persidangan dan pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini.

Sanitasi telah dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan pada 1 November lalu sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.

Seperti semalam, persidangan untuk 3, 4 dan 5 November bermula dari pukul 10 pagi akan ditamatkan pada pukul 1 tengah hari.

Persidangan Kamar Khas yang biasanya diadakan pukul 2.30 petang turut diawalkan kepada pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari atau setelah selesai urusan dalam aturan urusan mesyuarat Kamar Khas, bermula hari ini hingga Khamis.

Sementara itu , Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menjelaskan petugas Dewan Negara dan anggota polis bantuan yang didapati positif Covid-19 tidak berada di bangunan Parlimen selepas menjalani ujian tersebut.

Katanya, laporan media berhubung polis bantuan itu adalah tidak benar dan individu terbabit sebenarnya bertugas di tempat lain.

Related posts

Leave a Comment