Sultan mahu ketegasan

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor serta pihak Polis supaya lebih tegas dalam pemantauan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Baginda kecewa kerana masih terdapat segelintir pihak yang tidak mengambil serius, lalai dan ingkar dalam mematuhi arahan PKPB khususnya pengendali premis-premis hiburan dan makanan.

Melalui kenyataan Istana Alam Shah semalam baginda khuatir sekiranya kedegilan pematuhan SOP di bawah PKPB ini berterusan, penularan wabak berbahaya Covid-19 ini akan sukar untuk dibanteras sepenuhnya.

Untuk rekod, pada 1 November 2020, Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu 225 kes.

Baginda juga berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada dua petugas Hospital Sungai Buloh, Selangor yang menerima pengiktirafan Anugerah Kesihatan Global (GHA 2020) baru-baru ini.

Dua petugas berkenaan adalah Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit, Dr. C. Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi, Dr. Shaiful Azman Zakaria.

Baginda amat berbangga dengan pencapaian cemerlang yang dicatatkan petugas-petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh khususnya dan di Selangor amnya, yang telah menunjukkan dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam usaha menghapuskan wabak berbahaya Covid-19.

Pada masa yang sama, baginda berharap para petugas barisan hadapan terus tabah dan cekal dalam menjalankan tugas merawat pesakit Covid-19.

Related posts

Leave a Comment