NZ fokus Covid-19, ekonomi

WELLINGTON 3 Nov. – Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengambil masa yang agak lama untuk menilai kemahiran dan pengalaman semua orang serta memanfaatkannya dalam membentuk satu pasukan (Kabinet) yang boleh bekerjasama bagi kepentingan negara itu.

“Semalam saya telah mengumumkan pasukan itu, dan anda boleh tahu bahawa saya gembira mengenainya!, satu pasukan yang membanggakan untuk berkhidmat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, Kabinetnya akan memberi fokus terhadap isu-isu kesihatan khususnya Covid-19 dan bagi tujuan tersebut sebuah pasukan khas dibentuk dengan melantik menteri yang bertanggungjawab khusus terhadap tindak balas Covid-19.

Bekas Menteri Kesihatan Chris Hipkins mengetuai kementerian yang berkaitan tindak balas Covid-19 manakala Andrew Little akan mengambil portfolio kesihatan yang lebih luas dan agenda pembaharuan yang besar.

Mereka akan disertai oleh Dr Ayesha Verrall pakar penyakit berjangkit, Peeni Henare dan Aupito William Sio sebagai Menteri Kesihatan Bersekutu.

Begitu juga dengan Grant Robertson (Timbalan Perdana Menteri) yang bertanggungjawab terhadap Infrastruktur dan mengatasi program pemulihan ekonomi, Stuart Nash dalam pembangunan ekonomi dan serantau, pelancongan dan perniagaan kecil.

“David Parker memainkan peranan besar dengan reformasi RMA kami dan Michael Wood hadir ke dalam pasukan, berkaitan Pengangkutan,” katanya.

Turut menyertai pasukan Kabinet itu adalah Kiri Allan, dengan latar belakang dalam undang-undang dan semangat terhadap alam sekitar bagi portfolio tentang Pemuliharaan dan peranan Alam Sekitar Bersekutu.

Nanaia Mahuta, yang terlibat menjaga hal ehwal perdagangan sebelum ini mengambil alih portfolio Hal Ehwal Luar Negeri, wanita pertama dalam sejarah New Zealand yang dilantik memegang jawatan tersebut.

Semalam  Perdana Menteri Ardern ketika mengumumkan Kabinet baharunya berkata, tiga tahun akan datang ini sangat mencabar bagi New Zealand dengan prospek global yang semakin buruk di mana kita tidak akan kebal terhadap kesan berterusan Covid-19 di seluruh dunia.

“Oleh itu, kerajaan baharu Parti Buruh akan mempunyai dua keutamaan: mendorong pemulihan ekonomi kita daripada Covid-19, dan meneruskan tindak balas kesihatan untuk memastikan warga New Zealand selamat daripada virus,” kata Ardern.

Grant Robertson selain Timbalan Perdana Menteri juga sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Infrastruktur, portfolio utama yang menjadi pusat pemulihan ekonomi.

Related posts

Leave a Comment