PKPB Kelantan 21 Nov – 6 Dis

KUALA LUMPUR: Seluruh negeri Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu mulai 21 November sehingga 6 Disember 2020 susulan peningkatan kes direkodkan

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia selepas penilaian risiko yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati terdapat peningkatan kes di beberapa daerah dan mukim.

“Aktiviti agama akan ditentukan kerajaan negeri, dan berapa jumlah jemaah di masjid (yang dibenarkan hadir) adalah hak (kerajaan) negeri (untuk) menentukan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu PKPB di negeri-negeri Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu ditamatkan mulai esok (21 November 2020).

Bagaimanapun, menurut Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, beberapa daerah masih diletakkan di bawah PKPB iaiitu Kulim di Kedah, dan Mersing serta Kota Tinggi di Johor.

Ismail Sabri berkata, sehingga 18 November 2020, situasi semasa di seluruh negara masih menunjukkan trend peningkatan kes positif dengan jumlah kes aktif masih tinggi walaupun beberapa negeri menunjukkan trend penurunan kes positif dan keadaan terkawal di Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu.

“Di negeri Kedah sejak 5 November terdapat penurunan daripada jumlah kes sehingga 18 November 2020, di mana hanya 85 kes aktif direkodkan di seluruh negeri dan keadan terkawal.

“Ini berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kecuali daerah Kulim masih merekodkan 23 kes aktif. Oleh itu hari ini, KKM menasihatkan berdasarkan penilaian risiko dan mesyuarat MKN bersetuju, PKPB di seluruh negeri Kedah ditamatkan pada 21 November 2020, kecuali daerah Kulim diteruskan selama dua minggu,” jelasnya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun katanya, negeri yang ditamatkan PKPB perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih dilaksanakan ketika ini.

Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di K Avenue, Mega City di Penampang, Sabah bermula 22 November ini susulan peningkatkan kes Covid-19 direkodkan.

“Sehingga 16 November 2020, sebanyak 110 kes positif direkodkan di lokaliti ini, atas nasihat penilaian risiko, kita bersetuju melaksanakan PKPD di K Avenue, Mega City, Penampang, Sabah bermula 22 November sehingga 5 Disember 2020.

“Ia merangkumi pejabat, kuarters pekerja dan tapak pembinaan seramai 400 penduduk,” jelasnya.

Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Anjung Teduh, Felda Sahabat, Lahad Datu ditamatkan bermula hari ini, selepas mendapat nasihat KKM.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Anjung Teduh Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah bermula pada 24 Oktober sehingga 6 November 2020 yang kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga 20 November 2020 (hari ini).

“KKM telah melaksanakan sebanyak 3,743 saringan dan sebanyak 89 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliiti ini. Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju menamatkan PKPD di Anjung Teduh Felda Sahabat, Lahad Datu pada hari ini, seperti yang dijadualkan,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment