Kes harian tertinggi Indonesia

INDONESIA mencatatkan 4,168 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah harian tertinggi sejak virus pandemik itu dikesan di republik itu pada 2 Mac lepas.

Berdasarkan data dalam laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, jumlah kes positif keseluruhan kini meningkat kepada 240,687 kes, manakala 107,863 lagi pesakit masih dalam pemantauan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini 19 September, sebanyak 112 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kumulatif kini 9,448 orang.

Provinsi Jakarta, yang kembali menguatkuasakan peraturan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu bermula Isnin lepas, masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 60,828 kes, dengan tambahan 988 kes baharu.

Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,942 orang, diikuti Jakarta (1,527), Jawa Tengah (1,243), Kalimantan Selatan (396), Sumatera Utara (394), Sulawesi Selatan (389) dan selebihnya di wilayah lain.

Covid-19 sudah menular kepada 30 pejabat dan agensi kementerian di Jakarta berdasarkan data daripada pemerintah

SINGAPURA yang kini di dalam fasa kedua pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial, pada laporan awalnya mengesahkan 15 kes baharu jangkitan Covid-19 untuk tempoh 24 jam lepas, dengan lima merupakan kes import.

Kementerian Kesihatan Singapura (MoH) menyatakan kesemua kes import tersebut telah dikenakan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di negara itu.

Sementara itu, berdasarkan kepada siasatan sehingga kini, kementerian itu menyatakan terdapat satu kes dalam komuniti yang melibatkan rakyat Singapura dan menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu kepada 57,558.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Jumaat, kementerian itu mengklasifikasikan 1,006 sebagai kes import, 2,242 kes dalam komuniti dan 54,295 kes melibatkan penghuni asrama pekerja asing.

Sebanyak 57,071 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan sejumlah 38 pesakit masih di hospital.

Sehingga kini, 27 orang meninggal dunia  akibat komplikasi Covid-19.

Related posts

Leave a Comment