PM Lee diberi suntikan vaksin

SINGAPURA 8 Jan. – Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech sekali gus menjadi anggota pertama Kabinet disuntik dengan vaksin Covid-19.

Lee menerima suntikan itu bersama dengan kakitangan Hospital Besar Singapura (SGH) pada majlis pelancaran rasmi vaksinasi bagi kakitangan jagaan kesihatan.

Institusi-institusi jagaan kesihatan awam termasuk hospital dan poliklinik akan mula memberi suntikan vaksin kepada kakitangan mereka mulai hari ini dan SGH menganggarkan sekitar 80 kakitangan akan disuntik pada hari pertama vaksinasi.

Pelancaran itu dibuat selepas uji cuba berskala kecil di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit, di mana 40 kakitangan menerima suntikan pada 30 Disember lalu.

Lee berkata, beliau gembira melihat permulaan vaksinasi untuk para pekerja jagaan kesihatan dan petugas barisan hadapan.

“Jadi saya mengambil peluang ini untuk menerima suntikan vaksin pada pagi ini dan saya sudah selesai menjalaninya – masa menunggu selama 30 minit, tiada apa-apa yang berlaku.

“Saya sudah mendapatkan kad saya, dan janji temu untuk datang ke sini lagi dalam masa tiga minggu. Ia tidak sakit, ia berkesan. Dan ia penting.” katanya.

Lee menggalakkan orang ramai supaya mendapatkan suntikan vaksin dan katanya, bekalan vaksin yang secukupnya akan dibawa masuk kerana Singapura sudah membuat tempahan awal untuk mendapatkan vaksin.

“Ia membuat kita lebih selamat dan ia juga membuat anda dan orang tersayang lebih selamat. Oleh itu, sila dapatkannya jika boleh,” katanya. 

Sebelum ini Lee dalam ucapannya bulan lalu berkata: “Rakan kerja saya dalam Kabinet dan saya sendiri, termasuk yang lebih tua, akan menerima suntikan vaksin lebih awal. Ini bagi menunjukkan kepada anda, terutama sekali golongan warga emas seperti saya, bahawa kita yakin vaksin ini selamat,”.

Pengarah Khidmat Perubatan MOH Kenneth Mak, yang merupakan sebahagian daripada jawatankuasa bertindak berbilang kementerian mengenai Covid-19, juga menerima suntikan dos pertama vaksin pada Jumaat.

Related posts

Leave a Comment