PUTRAJAYA: Satu lagi kluster baharu, Kluster Bakau di Semporna, Sabah, dilaporkan hari ini, 19 September dengan tiga kes dikesan positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Kes indeks kluster ini merupakan seorang perempuan warga Filipina (kes ke-10145) yang juga kes kematian ke-129, dilaporkan semalam.
Saringan Covid-19 kes indeks didapati positif pada 16 September 2020. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan dua lagi kes positif Covid-19 bagi Kluster Bakau dikenal pasti, melibatkan satu warga tempatan dan satu warga Filipina. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.
Setakat 12 tengah hari, sejumlah 109 individu telah disaring bagi kluster itu, langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan, telah dijalankan di Hospital Semporna manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.
Mengenai perincian Kluster Sungai, Dr Noor Hisham berkata, terdapat lapan kes baharu di Kedah dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kluster itu sebanyak 73 kes dengan 23,935 individu disaring setakat 12 tengah hari ini.
Di Kedah, 23,748 individu disaring dengan 72 kes positif termasuk lapan kes baharu hari ini, di Pulau Pinang 142 individu disaring dan Perlis 45 orang dengan satu kes positif.
Beliau berkata bagi Kluster Benteng Lahad Datu (LD), satu kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif kluster itu 551 kes dengan 7,985 individu disaring setakat 12 tengah hari Ini.
Di Tawau, 5,975 individu disaring dengan 399 kes positif termasuk satu kes baharu hari ini, di Lahad Datu 2,009 disaring dengan 151 kes positif dan di Sandakan, seorang disaring dan dikesan positif.
Daripada jumlah 551 kes positif Covid-19, 272 adalah dalam kalangan warga tempatan manakala 279 merupakan bukan warganegara iaitu Filipina (185 kes); dan Indonesia (94 kes).
Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes akan sentiasa dikemas kini dan kategori bagi kes positif mungkin akan berubah bergantung kepada maklumat terkini hasil siasatan di lapangan, saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster-kluster ini masih diteruskan.