Syed Saddiq daftar Muda

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan permohonan pendaftaran parti baharu Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan pelbagai kaum.

Dengan bertulang belakangkan oleh 13 penaja, parti itu turut melibatkan bekas pemimpin pelajar serta berlatar belakangkan pelbagai profesion.

“Struktur organisasi kita akan maklumkan kemudian tetapi kami mempunyai 13 penaja yang terdiri daripada pelbagai latar belakang,” katanya selepas selesai membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di Putrajaya pagi ini, 17 September .

Beliau berkata, Muda Malaysia tidak boleh dilihat hanya pada faktor umur tetapi lebih kepada fahaman, ideologi, idealisme dan dasar-dasar yang inklusif.

Bekas Ketua Armada Bersatu itu berkata, ramai yang mengatakan berminat untuk menyertai Muda Malaysia.

Terdahulu beliau yang menyertai wawancara The Breakfast Grille bersama stesen radio BFM 89.9 berkata, Muda adalah parti politik Malaysia pertama yang digerakkan anak muda, berbilang agama dan kaum yang memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia – tua dan muda, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan.

Beliau juga berhasrat membina sokongan akar umbi dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak berpihak kepada mana-mana parti sedia ada.

“Saya ingin menyasarkan ‘middle Malaysia’ kerana kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak berdaftar dengan mana-mana parti dan tidak berminat untuk berdaftar.

Golongan ini yang betul-betul merasakan keperluan untuk perubahan dan keinginan untuk mencabar struktur sedia ada,” katanya.

Syed Saddiq juga belum memberi bayangan akan membentuk sebarang pakatan bersama parti lain menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sekiranya kami ditakdirkan kalah pada PRU-15 kerana tidak berpihak dengan UMNO dan Pas, biarkan kami kalah. Sebaik-baiknya kami kalah akibat kuasa mengundi rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment