RIYADH: Kerajaan Arab Saudi akan menarik balik semua sekatan perjalanan terhadap pengangkutan udara, darat dan laut bagi rakyatnya mulai 1 Januari 2021, demikian menurut agensi berita negara SPA.
Di samping itu, mulai esok, 15 September, sebahagian daripada penggantungan penerbangan antarabangsa akan ditarik balik bagi membenarkan rakyat dan penduduk dalam “kategori terkecuali” melakukan perjalanan.
Arab Saudi menggantung semua khidmat penerbangan antarabangsa bagi mencegah penularan virus korona baharu Covid-19 mulai Mac lalu.
Kategori yang dikecualikan termasuk kakitangan sektor awam dan tentera, pegawai diplomat dan anggota keluarga mereka, mereka yang bertugas dalam sektor awam atau sektor swasta bukan mencari untung di luar negara.
Turut terlibat para ahli perniagaan, para pesakit yang memerlukan rawatan di luar negara, mereka yang menuntut di luar negara serta orang-orang yang terlibat dalam kes-kes kemanusiaan dan pasukan sukan.
Penduduk Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan mereka yang bukan penduduk Saudi dengan tempoh penginapan yang sah atau visa pelawat juga akan dibenarkan masuk ke negara itu mulai esok, dengan syarat dapat membuktikan bahawa mereka diuji negatif bagi Covid-19.
Sementara itu sumber Kementerian Dalam Negeri akan mengumumkan kemudian status untuk mengerjakan umrah yang bergantung kepada perkembangan wabak Covid-19.