PSI beri kesan terhadap PH semasa PRN?

KUALA LUMPUR 6 Mei – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow didakwa gagal menangani kebimbangan pelbagai pihak, khususnya nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar berhubung projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan negeri tidak memberi penjelasan sewajarnya apabila ditanya mengenai projek itu oleh pihak yang membantah.

Beliau mengambil contoh apabila ditanya apakah 71 syarat yang dikenakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kon Yeow berkata butiran semua ada dalam laman sesawang, boleh rujuk dan baca di sana.

“Laporan berkenaan setebal 1,000 muka surat lebih. Ia sangat teknikal, sebagai orang biasa saya percaya mereka kurang faham,” katanya dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, Kon Yeow sepatutnya mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan, bukan hanya lepas tangan dan bersikap angkuh.

“Cara dia jawab mungkin akan ada kesan dalam PRN nanti,” katanya.

Beliau berkata, tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengabaikan kumpulan yang membantah projek PSI dilihat seperti memberi ‘bola tanggung’ kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sementara itu, kerajaan Pulau Pinang menyiarkan dokumen 71 syarat yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kelulusan bersyarat yang diberikan untuk projek Pulau Pinang Selatan (PSI) di laman sesawang rasmi milik kerajaan negeri.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, berkata beliau menjangkakan PN yang turut dipimpin Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mempunyai kepakaran untuk menggunakan isu PSI sebagai strategi kempen bagi menawan tujuh hingga lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerusi majoriti Melayu khususnya di bahagian tanah besar di Pulau Pinang.

“Isu ini isu klasik, ia akan berterusan dimainkan jika Kerajaan Pusat tidak selaraskan atau campur tangan,” katanya.

“Dia perlu kata ini 71 syarat dan tidak perlu terangkan kesemua syarat berkenaan tetapi boleh ringkaskan mengikut kategori yang diperlukan seperti syarat penjagaan alam sekitar, pemantauan dan ada penilaiannya.

“Perlu memberi keyakinan kepada rakyat di Pulau Pinang bahawa syarat-syarat berkenaan akan dipatuhi dan ketetapan yang terbaik dikeluarkan daripada JAS,” katanya.

Khairy berkata, isu berkenaan belum selesai walaupun sudah mendapat kelulusan dan kerajaan Pulau Pinang dinasihatkan untuk membuat lebih banyak libat urus serta bukan hanya terlalu yakin dengan mandat yang ada.

Related posts

Leave a Comment