Kampung Boy berduka

“DUGAAN besar buat kami sekeluarga… mungkin sekarang musim wabak…kami sekeluarga mengharapkan doa dari semua agar musibah ini segera berakhir…” demikian catatan ‘Kampung Boy’ atau ‘Mowgli Malaysia’ yang berdepan musibah haiwan ternakan termasuk kerbau milik bapanya mati.

Adalah dipercayai lebih 25 ekor haiwan ternakan termasuk kerbau didapati sudah tidak bernyawa pada pagi ini, 14 September 2020.

Muhammad Syukur Khamis, 15, meluahkan perasaan sedihnya itu di laman sosial Facebook ‘Syukor Khamis – Kampong Boy’ kira-kira pukul 11 pagi yang memaparkan proses menanam bangkai haiwan kesayangannya itu.

Beliau berkata kejadian di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu itu adalah dugaan besar buat keluarganya dan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan wabak penyakit.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut memberi kata-kata perangsang kepada Muhammad Syukur dan bapanya Khamis Jusoh, 64, agar tabah dengan ujian yang melanda mereka sekeluarga.

Kepada anakanda Muhammad Syukur sekeluarga, banyakkan bersabar…sedih itu hal yang biasa namun usah terlalu bersedih kerana ia adalah putaran biasa kehidupan makhluk Allah,” katanya menerusi laman sosial Facebook rasmi miliknya.

Saya ingin berpesan untuk diri saya jua semua yang membaca; hidup dan mati milik-Nya. Jasad kita juga adalah milik-Nya. Sedih itu hal yang biasa namun usah terlalu bersedih kerana ia adalah putaran biasa kehidupan makhluk Allah SWT. Maha Suci Allah yang mengikat pertalian kasih antara manusia dan haiwan dengan sebegitu erat. ⁣

⁣Insya-Allah ada hikmah yang tersembunyi di sisi-Nya.⁣

⁣Muhammad Syukur menjadi buruan lensa jurugambar dalam dan luar negara sejak beberapa tahunlalu setelah gambar aksinya bersama lebih 100 ekor kerbau tular di media sosial dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

(Foto dari FB)

Related posts

Leave a Comment