PCS ajak tolak parti Malaya

DENGAN slogan Sabah Sedar, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Anifah Aman mengajak parti-parti tempatan bersatu dan bekerjasama menolak campur tangan parti-parti Malaya.

Anifah berkata, adalah menjadi harapannya agar parti-parti tempatan bersama-sama menuntut hak-hak dan keistimewaan rakyat Sabah yang dakwanya sehingga hari ini masih tidak dilaksanakan.

“Kita yang seharusnya menentukan nasib serta hala tuju kita sendiri tanpa campur tangan oleh Malaya. Cukuplah retorik-retorik sebelum ini, dan tidak perlu lagi. Tolak sahaja campur tangan Malaya,” kata bekas Menteri Luar itu melalui Facebooknya.

Dalam catatannya, Anifah berkata, sejak penubuhan Persekutuan Malaysia hingga hari ini, rakyat Sabah telah lama berjuang bagi mendapatkan hak-hak yang telah dijanjikan kepada Sabah.

“Pemimpin Sabah pada masa itu bersetuju dengan aspirasi merdeka melalui Malaysia. Namun demikian, mereka telah memastikan hak-hak rakyat Sabah akan sentiasa terjamin melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani di London.

“Malang sekali, hari ini kita tahu bahawa rakyat Sabah tidak mendapat semua hak-hak dan keistimewaan yang telah dipersetujui semasa perundingan di antara kerajaan (IGC62 pada tahun 1962),” katanya.

Beliau mendakwa, sedikit demi sedikit, hak-hak dan keistimewaan yang dijanji itu telah dihakis oleh pemimpin-pemimpin dari Kuala Lumpur termasuk hasil minyak dan gas.

“Oleh sebab tu, PCS mempunyai misi dan visi untuk memperjuangkan hak-hak dan keistimewaan Sabah seperti yang termaktub dalam IGC62, MA63 dan Perlembagaan Malaysia. Kita akan tetap berpegang kepada Perjuangan ini jika kita diberi mandat untuk membentuk kerajaan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, perjuangannya bukan sehari dua sebaliknya sudah lama berlaku tanpa memandang wang ringgit mahupun pangkat.

“Saya telah berjuang sejak zaman saya dalam BN lagi. Saya tidak takut untuk kehilangan jawatan ketika itu walaupun ada lagi pemimpin Sabah lain dalam parti ketika itu,” katanya.

Anifah mengambil contoh, dalam forum yang telah dilaksanakan pada 2015 beliau telah memanggil semua pemimpin Sabah, tidak kira dari parti sendiri mahupun pembangkang untuk bersama-sama berjuang hak-hak serta keistimewaan negeri kita untuk rakyat negeri itu.

Related posts

Leave a Comment