Trump mungkin sertai Arab Saudi

WASHINGTON – Presiden Donald Trump membayangkan kemungkinan Amerika Syarikat (AS) menyertai serangan Arab Saudi terhadap kumpulan Houthi di Yaman susulan serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh.

Trump berkata, keputusan itu masih dalam pertimbangan Washington selepas beliau dimaklumkan mengenai serangan terbaharu berkenaan.

“Kita mungkin (sertai serangan). Kita akan menelitinya. Kita baru sahaja dimaklumkan mengenai serangan terbaharu itu. Kita akan membuat keputusan. Kita bergerak dengan pantas,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu Kedutaan AS dan United Kingdom (UK) di Arab Saudi turut menasihatkan rakyat masing-masing supaya menjauhi lapangan terbang berkenaan susulan serangan tersebut, selain memberi amaran mengenai risiko keselamatan serta kemungkinan gangguan perjalanan.

Pada Jumaat, pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan tiga rakyatnya terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam dua serangan pada Khamis yang menyasarkan kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid dan sebuah pesawat Saudi Arabian Airlines.

Operasi lapangan terbang kemudiannya disambung semula dan pergerakan trafik udara kembali seperti biasa, menurut pihak berkuasa penerbangan negara itu.

Kumpulan Houthi sebelum ini mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan menggunakan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid serta beberapa lapangan terbang lain di Arab Saudi sejak kebelakangan ini.

Konflik di Yaman tercetus selepas Houthi mengambil alih ibu negara, Sanaa, serta beberapa wilayah lain pada September 2014.

Perkembangan itu mendorong campur tangan pakatan diketuai Arab Saudi pada Mac 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment