44 kes tempatan, 1 import

PUTRAJAYA : Sebanyak  45 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, 10 September membabitkan 44 kes penularan tempatan dan satu kes import melibatkan warganegara yang pulang dari Brazil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 44 kes penularan dalam negara itu, 40 adalah daripada Kluster Benteng LD, Sabah yang melibatkan 33 bukan warganegara dan tujuh rakyat tempatan. 

Baki empat kes  lagi direkodkan di Kedah iaitu dua kes daripada Kluster Telaga dan masing-masing satu daripada Kluster Telaga dan saringan bergejala di Klinik Kesihatan Simpang Kuala dengan kesemuanya melibatkan rakyat tempatan.

Sementara itu, sebanyak 24 kes pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 9,167 manakala sembilan kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan lima pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai kluster Benteng LD yang melibatkan dua daerah di Sabah, Dr Noor Hisham berkata seramai  1,909 individu telah disaring di Tawau dengan 83 daripadanya dikesan positif setakat ini, manakala 770 individu telah disaring di Lahad Datu dengan 87 kes dikesan positif. 

Mengenai kluster Sungai, seramai 1,456 orang disaring di Kedah dengan 39 dikesan positif, manakala tujuh individu disaring di Perlis dengan satu kes positif, sementara bagi kluster Telaga, seramai 4,626 individu disaring di Kedah dengan 13 positif. 

Mengenai  pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Daerah Kota Setar, Kedah, beliau berkata langkah itu susulan peningkatan ketara kes dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga.

Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di Amanjaya pula dilanjutkan hingga 13 September  2020 bagi memastikan saringan ke atas penduduk di kawasan tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengambil maklum keputusan pelaksanaan tindakan yang sama di kawasan penjara dan kuarters penjara di Tawau, Sabah.

Dr Noor Hisham juga memberitahu, seramai 119,268 pengembara telah memasuki Malaysia sejak 3 April hingga semalam.

Daripada jumlah itu, 995 disahkan positif Covid-19, iaitu 742 kes dikesan semasa saringan ketibaan dan 253 kes dikesan daripada saringan kedua pada hari ke-13.

Related posts

Leave a Comment