KLANG 15 Nov. – Keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-16 memberi isyarat bahawa kerjasama antara gabungan politik menjadi penentu kejayaan membentuk kerajaan.
Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Amirudin Shari, berkata peningkatan sokongan pengundi semata-mata belum mencukupi.
Menteri Besar Selangor itu berkata, perkembangan awal keputusan PRU DUN Melaka menunjukkan peningkatan sokongan yang positif, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan anak muda.
“Ada beberapa pertambahan yang agak positif dalam parti-parti, khususnya undi Melayu yang boleh kita bincangkan. Tetapi belum cukup kerana ia bukan soal gabungan atau sokongan kepada gabungan, tetapi bagaimana penjajaran politik harus difikirkan untuk membentuk sebuah kerajaan
Tapi akhirnya di Malaysia, resipi kejayaan untuk kerajaan adalah melalui gabungan ataupun melalui koalisi yang berjaya, dan sekarang koalisi itu bukan lagi koalisi parti-parti, tetapi koalisi antara gabungan-gabungan dan itu harus difikirkan dengan teliti oleh pemimpin-pemimpin kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan sokongan terhadap PH susulan pilihan raya Melaka selepas merasmikan Karnival Pendidikan Digital PIBKS Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan PH perlu mengubah strategi politik, Amirudin berkata, sokongan terhadap gabungan itu masih kekal dan menunjukkan peningkatan di beberapa kawasan.
Bagaimanapun, beliau masih belum memperoleh angka terperinci keputusan Melaka untuk membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasi gabungan itu.
