JOHOR BAHRU 15 Nov . – Sajak bertajuk ‘Patik Tak Rela’ nukilan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dari PKR menarik perhatian selepas dimuat naik menerusi Facebooknya semalam.
Menerusi sajak itu, beliau yang dipercayai meluahkan rasa kecewa berhubung isu Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan sama ada tindakannya menyuarakan bantahan terhadap apa yang dianggapnya ketidakadilan boleh disifatkan sebagai derhaka.
Hassan yang juga seorang peguam turut menyentuh prinsip keadilan yang perlu ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau darjat seseorang, selain menyifatkan sikap berdiam diri terhadap ketidakadilan sebagai satu bentuk persubahatan.
“Ampun Tuanku, derhakakah patik menyanggah ketidakadilan di depan mata? Bersikap diam diri, ertinya rela bersubahat.
Memejamkan mata, membisukan suara, sedang hati tak dapat menerima,” luahnya menerusi rangkap sajak berkenaan.
Dalam rangkap seterusnya, Hassan sekali lagi memohon ampun atas keberaniannya meluahkan rasa tidak puas hati melalui karya berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan mengelak sekiranya luahan tersebut mengundang tindakan terhadap dirinya.
“Maka silakan, patik tidak lari, patik tak rela negara ini jatuh ke longkang sehina begini,” katanya.
Sajak itu dipercayai merujuk keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Sebelum ini, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta, susulan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
SAJAK
Tajuk: Patik Tak Rela
Ampun Tuanku,
Derhakakah patik berkata benar?
Tuhan menyeru bersikap adil sesama insan;
Tegakkan hukum di bumi Allah
Yang tak mengenal darjat dan kelas.
Ampun Tuanku,
Derhakakah patik menyanggah,
Ketidakadilan di depan mata?
Bersikap diam diri, ertinya rela bersubahat;
Memejamkan mata; membisukan suara, sedang hati tak dapat menerima?
Ampun Tuanku,
Jika patik berbicara begini,
Terpaksa membayar dengan harga yang tinggi,
Maka silakan,
Patik tidak lari,
Patik tak rela, negara ini
Jatuh ke longkang sehina begini.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
14 November 2026
