Pyongyang kecam kehadiran kapal perang AS

SEOUL – Kehadiran kapal perang milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di pelabuhan Busan, Korea Selatan menimbulkan kecaman Korea Utara yang dianggap sebagai ‘provokasi politik dan ketenteraan’.

Kapal perang jenis USS Carl Vinson itu tiba di Busan bagi lawatan pelabuhan yang dijadualkan pada Ahad.

“Sebaik sahaja pentadbiran baharu AS muncul tahun ini, negara itu meningkatkan provokasi politik dan ketenteraan terhadap Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) dengan meneruskan dasar bermusuhan pentadbiran terdahulu,” kata Kim Yo-jong, adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Kenyataan itu disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Kerjasama ketenteraan antara Seoul dan Washington sering mengundang kecaman Pyongyang, yang melihat langkah itu sebagai persiapan untuk pencerobohan, dibalas dengan kerap menjalankan ujian peluru berpandu sebagai satu tanda protes.

“Gerakan jahat AS terhadap DPRK semakin ditingkatkan pada Mac dengan kehadiran USS Carl Vinson di Semenanjung Korea,” kata Yo-jong.

Beliau turut menegaskan,  AS dan sekutunya adalah ‘punca utama ketegangan yang semakin memuncak’ di rantau itu, sambil mengecam ancaman Washington yang disifatkan sebagai tindakan sembrono serta pertunjukan kekuatan yang melampau.

“Jika AS terus memperbaharui rekod dalam demonstrasi ketenteraan anti-DPRK, DPRK secara langsung akan dipaksa untuk memperbaharui rekod dalam penggunaan keupayaan pencegahan strategik,” katanya.

Hubungan antara Pyongyang dan Seoul kini berada pada tahap paling tegang dalam beberapa tahun, dengan Korea Utara melancarkan pelbagai ujian peluru berpandu balistik tahun lalu, sekali gus melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Minggu lalu, Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu di Laut Kuning dalam satu latihan yang menurut Pyongyang, bertujuan mempamerkan keupayaan ‘serangan balas’ negara itu.

Latihan ketenteraan bersama Korea Selatan-AS, dikenali sebagai Freedom Shield, dijadual bermula bulan ini.

Kedua-dua Korea masih berada dalam keadaan perang secara teknikal sejak konflik 1950-1953 berakhir dengan perjanjian gencatan senjata dan bukan perjanjian damai.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment