Pencalonan PPP perlu dipersetujui MIC

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Pencalonan wakil Parti Progresif Penduduk (PPP) bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan dilakukan selepas dipersetujui MIC, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menjelaskan hasrat BN meletakkan calon parti komponennya, PPP bertanding akan dibuat selepas mendapat persetujuan Presiden MIC, SA Vigneswaran dan Timbalannya, M Saravanan.

Ahmad Zahid berkata, beliau amat menghormati Presiden PPP,  Dr Loga Bala Mohan yang disifatkannya cekal untuk terus mewujudkan PPP dalam BN.

“Saya berazam, atas persetujuan Tan Sri Viki (Vigneswaran) dan Datuk Seri Saravanan, dalam PRU akan datang, kita letakkan calon PPP,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran PPP di Brickfields di sini, hari ini.

Pada 18 Januari lalu, Ahmad Zahid berkata, PPP secara rasmi diterima sebagai parti komponen BN dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) melalui surat bertarikh 25 November 2025 mengesahkan kedudukan PPP sebagai sebahagian daripada BN.

Sementara itu, Presiden UMNO itu menyifatkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Ke-16, semalam sebagai kemenangan hatrik yang cukup bergaya selepas kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan sebelumnya.

Beliau berkata, kemenangan itu adalah satu gerakan rakyat, yang membuktikan kemampuan BN untuk terus menyantuni rakyat tanpa mengira agama, kaum dan bahasa.

“Inilah rakyat Malaysia yang sejati. Kita tidak perlu terjerit-jerit atau terpekik-terpekik, terlolong atau menyatakan sakau sana dan sakau sini.

“Kita cerita yang baik-baik. Biarlah orang nak berkata apa pun mengenai kita tetapi kita cerita yang baik mengenai diri kita. Kita berhasrat melakukan kebaikan untuk semua bangsa di negara ini. Inilah keindahan BN,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment