KOTA KINABALU : Warisan Plus akan menggunakan tiga logo pada pilihan raya negeri Sabah, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd Shafie Apdal.
Logo tersebut ialah Warisan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Logo Warisan akan digunakan oleh Warisan sendiri, DAP dan Amanah manakala calon-calon UPKO dan PKR akan mengunakan logo masing-masing.
Mohd Shafie berkata setakat ini Warisan, DAP, UPKO dan Amanah akan bertanding di 66 kerusi manakala selebihnya akan ditandingi PKR.
Warisan mendapat 46 kerusi, UPKO (12 kerusi), DAP (tujuh kerusi), PKR (tujuh kerusi) dan Amanah (satu kerusi), menyaksikan mereka bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah.
Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri akan mempertahankan kerusi DUN Senallang.
Shafie dalam ucapannya berkata adalah penting kepada gabungan itu meletakkan calon yang boleh bekerja dan menang untuk rakyat serta membentuk pasukan yang besar untuk kekal mentadbir negeri ini.
“Sabah ini perlu kita pertahankan. Kita perlu berkhidmat kepada rakyat. PRN ini amat mencabar, cabarannya bukan hanya dari luar sahaja.
“Orang pilih kita bukan pasal duit, tapi boleh ubah jauh lebih baik. Saya terapkan nilai-nilai tinggi untuk ubah masyarakat. Kerana itu amat penting kita letak calon yang tepat,” kata Mohd Shafie.