PKPP sehingga 31 Disember

PERINTAH Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sepatutnya berakhir pada 31 Ogos Ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan demikian berkata, dengan

pelanjutan itu, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.

“Ini adalah untuk memastikan semua pihak mematuhi Prosedur Operasi Standard dan protokol kesihatan yang ditetapkan,” katanya dalam perutusan khas malam ini.

Muhyiddin juga menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang.

“Walaupun begitu perkara ini perlu diperhalusi dan Akta 342 itu perlu dipinda terlebih dahulu. sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang,” tambahnya.

Muhyiddin juga mengumumkan pelanjutan tempoh bagi Tabung Covid-19 yang diurus oleh NADMA sehingga 31 Disember ini.

“Sehubungan itu, pihak-pihak yang ingin menyumbang kepada tabung ini bolehlah berbuat demikian. Sumbangan akan digunakan untuk membantu mangsa Covid-19 dan menyediakan keperluan untuk membendung wabak ini,” jelas Muhyiddin.

Sebelum ini, Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Kerajaan kemudian mula melonggarkan PKP pada 4 Mei, dengan mengumumkan PKP bersyarat (PKPB) sebelum beralih ke PKPP bermula 10 Jun lalu.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan PKPP dilanjutkan sehingga keadaan terkawal.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata ini kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan Covid-19 akan berlangsung tidak kurang dua tahun, selain negara perlu membuat persiapan bagi menghadapinya.

Related posts

Leave a Comment