Tiada perbincangan agihan kerusi PKR-UMNO

KOTA KINABALU 1 Mei – PKR Sabah mempersoalkan tindakan pemimpin UMNO negeri itu  mengumumkan agihan kerusi di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) walaupun belum ada rundingan berhubung perkara itu.

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, berkata walaupun ada pertemuan tidak rasmi BN-PH berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), tiada perbincangan mengenai agihan kerusi.

“Di peringkat Keadilan Sabah, pertemuan tidak rasmi (BN-PH) telah dibuat namun tidak ada sebarang perbincangan dibuat setakat ini di antara PH dan BN mengenai bilangan agihan kerusi.

PH belum bertemu secara rasmi sama ada dengan BN mahupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membincangkan isu kerjasama pilihan raya apatah lagi agihan kerusi.

Kami tidak tahu dari mana Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mendapat angka 40 kerusi untuk BN itu dan kita tidak tahu dengan siapa beliau berbincang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai agihan 40 kerusi untuk BN dan baki 33 kerusi untuk PH pada PRN17 Sabah nanti seperti disahkan Suhaimi.

Suhaimi turut mendakwa sudah ada persefahaman di antara BN dan PH berhubung kerjasama menghadapi PRN17, khususnya bagi mengelak pertembungan pada pilihan raya nanti.

Berikutan itu Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat meminta UMNO untuk menasihati pimpinan mereka di Sabah supaya tidak mengeluarkan kenyataan unilateral terutama berkaitan kerjasama mendepani PRN17 dan agihan kerusi.

“Sebaiknya perundingan dibuat dahulu sebelum sebarang kenyataan dibuat. PKR dan PH Sabah terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai aspirasi sama untuk negeri Sabah, namun biarlah perkara ini dibincangkan dalam pertemuan rasmi,” katanya.

Sementara itu, Razeef berkata, beliau juga mendapat pengesahan dari semua pimpinan PH Sabah bahawa belum ada sebarang perbincangan dibuat dengan BN Sabah mengenai kerjasama politik atau agihan kerusi.

“Pemimpin BN Sabah sudah berkali-kali mengeluarkan kenyataan seperti ini walaupun mereka tidak pernah bertemu PH apatah lagi membincangkan perkara ini,” katanya.

PKR Sabah sebelum ini turut mengesahkan belum ada perbincangan rasmi dengan BN selepas Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan kerjasama BN-PH, baru-baru ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment