21.08.2019 : Sepakat membantu, bukan sokongan kosong
SEORANG rakan grup WhatsApp dalam reaksinya untuk membantu Utusan berkata : “ Saya akan beli tiga naskhah” . Seorang lagi pula berkata: “ Tak cukup beli naskhah Utusan, apa saja yang perlu iklan, iklankan dalam Utusan”. Begitulah semangat mereka apabila dimaklumkan Utusan Malaysia dan Kosmo! akan beroperasi seperti biasa. Semangat ‘orang lama’ yang terus membeli Utusan itu amat dihargai. Bagaimana yang lain? Masih berminat membaca surat khabar?
Ada hikmah di sebalik khabar mengenai penutupan dua akhbar milik institusi Melayu itu. Memang menggemparkan apabila maklumat berkaitan diperoleh daripada editor kanan dan kakitangan media itu. Bukan khabar angin. Penutupan memang dibincangkan. Akhirnya isu ini membuka mata pelbagai pihak malahan wakil DAP turut bersuara. Masih ada yang simpati. Malangnya ada juga yang menangguk di air keruh dengan membuat tuduhan melampau terhadap Utusan, mungkin dia baru ‘setahun jagung’ mengenali Utusan.
Kenyataan meneruskan operasi oleh Pengerusi Eksekutif, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir (DASF) semalam menjawab keresahan banyak pihak terutama pekerja serta mereka yang pernah bersama Utusan. Beliau masih berpegang kepada ikrar untuk tidak ‘menguburkan’ Utusan. DASF tidak mahu bertanggungjawab meletakkan batu nisan. Penutupan itu jika berlaku bukan sahaja menyebabkan ramai Melayu hilang pendapatan tetapi boleh mematikan sebuah institusi Melayu yang telah banyak berjasa . Memang satu tragedi jika Utusan menamatkan operasi ketika usianya sudah mencecah 80 tahun.
Diharapkan perkembangan itu mendapat reaksi positif terutama pihak yang sebelum ini melahirkan rasa sedih, terkejut, kecewa atau berdukacita dengan perkhabaran itu. Semoga seruan menyokong dengan membeli dua produk Utusan itu mendapat sambutan. Edaran dan iklan saling bantu membantu bagi menghidupkan media cetak. Tanpa iklan, belum tentu edaran tertinggi dapat menampung kelangsungan akhbar. Kos cetak yang terus meningkat menyebabkan penerbit lebih berhati-hati untuk menentukan jumlah naskhah yang perlu dicetak.
Justeru andainya dalam sehari dua ini, atas semangat ingin membantu 1Naskhah 1Rumah atau 1Naskhah 1Pejabat atau 1Naskhah 1Orang, anda sukar mendapatkan Utusan Malaysia atau Kosmo!, maafkanlah. Berilah ruang untuk Utusan menyusun strategi supaya pulangan naskhah yang tidak terjual dapat dikurangkan. Setiap naskhah yang tidak terjual merugikan penerbit. Tidak ada guna mencetak dalam jumlah yang besar tetapi tidak ada pembeli.
Bukan mudah untuk memastikan edaran setiap lokasi mencukupi. Apa pun bahagian pemasaran perlu bekerja keras supaya permintaan pembaca dapat dipenuhi. Jangan biarkan pembaca pula merungut akhbar tidak ada di pasaran. Pada masa yang sama gerakan untuk mempromosikan akhbar digital atau e-paper perlu ditingkatkan terutama bagi memenuhi kehendak pembaca dalam kalangan orang muda. Perlu lebih agresif tanpa melibatkan kos.
Akhbar digital atau Utusan on-line perlu diperkasakan bagi menarik lebih ramai pembaca seterusnya dapat menjana pendapatan iklan. Jika sukar mendapat edisi cetak, langganlah akhbar digital dengan harga termurah iaitu RM50 setahun. Apa yang penting sokongan untuk membeli sama ada cetak atau digital. Jangan hanya riuh rendah kerana tidak mahu akhbar itu ditutup tetapi apabila operasi diteruskan semangat itu pudar. Semangat hangat-hangat tahi ayam.
Ingatlah bagaimana nasib Utusan Melayu (akhbar jawi) yang terpaksa dimatikan kerana ‘tidak ada yang membeli’. Utusan tidak mampu menampung kos cetak akhbar jawi itu dan kematiannya seolah-olah tidak begitu diratapi. Apabila dijadikan seminggu sekali bagi ‘memulihara’ jawi juga tidak mendapat sambutan. Akhbar jawi itu hilang begitu sahaja walaupun ‘kesakitan’ yang ditanggung sudah terlalu lama.
Apabila disebut Utusan Melayu, tidak mustahil, ada yang tidak tahu membezakan Utusan Melayu sebagai akhbar dan syarikat. Tidak hairanlah apabila dikatakan Utusan Melayu bakal menutup operasi akhbarnya, ada yang bertanya : “Bukankah Utusan Melayu (maksud jawi) sudah tidak ada? “ Amat malang jika ini berlaku. Tidak langsung ambil tahu. Inilah akibat kurang membaca atau menganggap diri terlalu pandai serta serba tahu.
Hari ini, apabila Utusan mengambil keputusan meneruskan operasi, berapa ramai yang sanggup atau bersedia membeli? Berapa ramai yang sedia menyumbang RM1.50 atau RM1 dalam tempoh sehari dua ini untuk membeli Utusan Malaysia atau Kosmo!. Untuk rekod, mulai Jumaat ini, harga Utusan Malaysia dan Kosmo! dinaikkan sebanyak RM0.50 sen sementara Mingguan Malaysia kekal RM2.
Diharapkan harga baharu itu tidak membebankan walaupun ia menyebabkan Utusan Malaysia muncul sebagai akhbar termahal. Pada masa yang sama Utusan perlu mengiringi kenaikan itu dengan sesuatu yang lebih baik supaya berbaloi dengan nilai yang dibayar.
Ingatlah Utusan Malaysia dan Kosmo! sedang mencari pembeli dan pembaca. Bagaimana kaedahnya terpulang kepada barisan editorial yang muda-muda dan hebat. Bagi pembaca, kesediaan untuk membeli sama ada secara langganan atau di kedai amat dialu-alukan. Golongan ini membuktikan bahawa mereka bukan sekadar menyatakan simpati, sedih atau kecewa apabila mendengar operasi Utusan Malaysia dan Kosmo! akan dihentikan.
Sasaran pembeli bukan sehingga sejuta orang tetapi sekurang-kurangnya 63,000 insan membeli Utusan Malaysia manakala Kosmo 110,000. Dengan kempen atau gerakan warga kerja Utusan matlamat itu boleh dicapai. Begitu juga ‘orang luar’ yang masih sayangkan Utusan. Contohnya penulis atau kolumnis, pertubuhan bukan kerajaan, dan sebagainya boleh berkempen supaya rakan-rakan mereka membeli apabila tulisan atau berita mereka disiarkan. Bukan hanya berkongsi di media sosial. Galakkan mereka ‘membayar’ untuk mendapatkan bahan itu. Tindakan itu lebih bermakna, bukan sekadar sokongan kosong tanpa membeli.
Begitu juga dengan iklan. Sejauh mana pengiklan akan kembali mengiklan? Apakah strategi syarikat untuk menarik iklan? Sedih apabila menyelak akhbar-akhbar ini, hampir tidak ada iklan terutama melibatkan syarikat-syarikat besar. Pihak kerajaan juga boleh membantu, sama ada mahu atau tidak. Diharapkan sempena Hari Kebangsaan ini, banyak pengiklan yang akan tampil membantu.
Kepada pekerja, tabahlah menghadapi pelbagai kekangan ini. Sementara pekerja berhak menuntut hak yang termaktub, fahamilah keadaan syarikat. Bersatulah sebagai keluarga besar Utusan. Buang sikap yang tidak baik, prasangka buruk terhadap rakan sekerja atau bekas pekerja yang meninggalkan Utusan atas nama VSS. Hormati pekerja yang memilih VSS. Mereka bukan suka-suka memilih VSS tetapi atas persetujuan dua pihak iaitu syarikat dan pekerja.
Syarikat berhak menolak permohonan mana-mana pekerja yang memohon VSS. Pekerja juga harus faham kenapa VSS ditawarkan. Jangan sembarangan membuat andaian sehingga terkeluar ayat-ayat sinis, biadab dan tidak bertamadun. Bersatulah sebagai keluarga Utusan dan jaga keperluan pembaca. Ingat cubit paha kanan paha kiri terasa sakit.
Syukurlah dalam keadaan sekarang, banyak pihak tampil membantu mereka yang masih bekerja berbanding yang memilih VSS. Hargailah keprihatinan mereka yang membantu. Sekurang-kurangnya masih ada yang simpati. Selain pihak luar, tiga tabung dalaman diwujudkan melalui Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) dan Surau Al-Huda Utusan. Sebaliknya apakah nasib mereka yang memilih VSS? Mereka juga ‘derita’. DASF, jangan dilupakan kelangsungan kehidupan warga kerja yang memilih VSS ini. Jangan pandang mereka sebagai beban. Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Semoga Allah melindungi ‘keluarga besar’ Utusan. Hidup Utusan!