Kluster Maju catat dua kes

PUTRAJAYA: Satu lagi kluster baharu berpunca dari restoran. Kali ini Kluster Maju yang dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes pertama kluster tersebut adalah kes 9,176 dan kes 9,177 yang dilaporkan pada 16 Ogos lalu.

Kedua-dua mangsa merupakan pekerja di restoran tersebut yang dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang telah dijalankan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan pelanggan restoran yang positf virus berkenaan telah dikesan.

Pesakit mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Setakat ini, seramai 672 orang telah disaring, termasuk 16 pekerja dan 656 orang pelanggan. Daripada jumlah itu tiga kes dikesan positif Covid-19; dan 669 individu negatif,” kata beliau dalam kenyataan hari ini, 21 Ogos.

Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sedang diteruskan.

Dalam masa sama, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar juga telah dijalankan di kedai makan tersebut.

Sementara itu, sembilan kes baharu positif Covid-19 dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari, menjadikan jumlah kumulatif kes 9,249.

Daripada sembilan kes baharu itu, empat daripadanya merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua bukan warganegara.

Empat kes import adalah dari Filipina, Austria, Indonesia dan India.

Sementara lima kes penularan di dalam negara pula melibatkan empat warganegara  dan satu bukan warganegara.

Sehingga kini, terdapat tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Hari ini juga, tiada sebarang pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 125 kes.

Related posts

Leave a Comment