Melayu : Sudah pecah jangan berderai

IMBAS KEMBALI TULISAN SEMPENA KONGRES MARUAH MELAYU 2019

KONGRES Maruah Melayu (KMM). Siapa di belakang penganjurannya walaupun empat universiti awam disenaraikan terlibat? Siapa pula yang patut hadir? Apakah amanat Tun Dr. Mahathir Mohammad mampu mempertahankan maruah Melayu? Itu antara pelbagai persoalan yang ditimbulkan sama ada oleh parti politik kerajaan atau pembangkang. DAP turut mempertikaikan penglibatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sama ada mereka akan bersama menganjurkan hal yang sama untuk kaum Cina, India, Kadazan dan sebagainya. Tidak mustahil akan ada gerakan itu lebih-lebih lagi dengan kuasa yang ada pada parti itu di dalam kerajaan.

Pada masa yang sama, timbul pula isu mengenai pemimpin Melayu yang memimpin parti politik tidak dijemput menyertai KMM. Bagaimanapun sudah dijelaskan, andai tidak menerima undangan, datanglah. Tidak ada larangan untuk Melayu termasuk anggota UMNO , Pas, PKR, DAP, Gerakan dan sebagainya hadir. Kongres yang sekadar untuk mendengar amanat di tempat terbuka seperti itu sebenarnya tidak perlu jemputan. Umum sahaja di media cetak, media elektronik dan media sosial bahawa program itu terbuka untuk semua Melayu. Lebih elok hadir mewakili Melayu bukan parti. Hadir bukan bermakna memberi sokongan kepada mana-mana pemimpin tetapi untuk mendengar dan melihat apa sebenarnya maksud kongres itu.

Ketepikan seketika warna politik, sama ada penganjurnya ikhlas atau tidak. Jangan timbulkan keraguan sama ada, ada udang di sebalik batu atau apa-apa juga andaian dan tanggapan negatif. Lihat dan dengar apa yang akan berlaku di kongres itu. Apa amanat Dr. Mahathir kepada orang Melayu yang sebelum ini terpaksa melabelkan Melayu sebagai mudah lupa dan malas. Renungi semula apakah tahap maruah Melayu selepas pilihan raya umum lalu? Sejauh mana maruah Melayu tercabar. Kenapa Melayu terasa maruah mereka tercabar, Islam diperkotak katikkan dan institusi raja cuba dipersendakan.

Jangan kerana penganjuran kongres ini dikaitkan dengan kumpulan pemimpin tertentu, maka ada pula suara-suara yang berpotensi untuk terus memecah belahkan perpaduan Melayu. Malang sungguh Melayu untuk mempertahankan maruah bangsa masih mahu bercakaran. Selepas, 62 tahun merdeka, parti politik Melayu tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Dasar pecah dan perintah tidak pernah terhenti. Diselak kembali perkembangan politik, perpecahan, perselisihan atau sengketa di dalam UMNO akhirnya melahirkan Semangat 46, PKR dan Bersatu. Sementara Pas pula melahirkan Berjasa, Hamim dan Amanah. Tidak cukup dengan itu, ada lagi parti Melayu seperti Ikatan dan Putra.

Meriahnya orang Melayu berpolitik. Namun kekuatannya pula bagaimana? Bukan setakat kekuatan anggota tetapi jatidiri mereka yang bersedia mempertahankan maruah Melayu bersandarkan Perlembagaan Persekutuan. Melayu yang hendak dipertahankan maruahnya bukan setakat Melayu yang menganggotai UMNO, Pas, PKR, Bersatu, Amanah, Putra, Ikatan, Berjasa dan sebagainya. Ingatlah, ada 20 juta Melayu. Berapa ramai pula yang menganggotai parti politik?

Tidak ada makna mempunyai banyak parti dan anggota tetapi kekuatannya ibarat anggota badan yang dikerat-kerat. Berpecah kepada kelompok kecil yang akhirnya menguntungkan pihak lain. Ambillah contoh DAP. Berapakah kekuatan anggotanya, cawangan dan bahagian Parlimen parti itu di seluruh negara sebelum ini tetapi akhirnya mampu ‘menguasai’ kerajaan. Di Semenanjung Malaysia, masyarakat Cina hanya ada DAP, MCA dan Gerakan. Ada lah satu dua lagi parti kecil yang tidak ke mana. Mereka juga minoriti tetapi diam-diam berisi. Lihatlah gelombang yang diterjemahkan mereka melalui peti undi. Suara mereka tegas dan jelas dalam menghadapi kepentingan bersama. Kesatuan mereka tidak pecah. Sebaliknya Melayu walaupun sudah ‘pecah’ tetapi mahu dibiarkan berderai. Tidak mustahil yang pecah dilumat dan dihancurkan. .

KMM tentunya bukan pentas terakhir untuk melihat perlunya kesatuan umat Melayu bersama mempertahankan maruah bangsa. Pemimpin Melayu mungkin boleh berada di pentas yang sama tetapi kerana politik dan kuasa, gerakan kesatuan ummah ini mungkin tidak ke mana. Apa pun jika benar KMM untuk mempertahankan maruah Melayu, sama-samalah Melayu memberi fokus ke sana. Ketepikan sentimen politik. Di sebelah pihak penganjur, jangan terlalu ghairah mendabik dada jika KMM berjaya menghimpunkan kehadiran yang diharapkan. Begitulah sebaliknya. Apa yang penting bagaimana mahu melahirkan kesatuan umat Melayu dan Islam yang sedia mempertahankan maruah bangsa dan juga agama. Ingatlah KMM berkaitan maruah Melayu bukan maruah mana-mana pemimpin atau parti politik.

Ingatlah Melayu tidak boleh bergantung kepada orang lain. Mereka sendiri yang akan menentukan kedudukan. Musuh akan menguatkan cengkaman ke atas tengkuk umat Melayu yang berpecah belah, berpuak-puak merebut kuasa yang sedikit. Tidak ada makna Melayu mewah dengan parti politik tetapi tidak ada kuasa politik yang mampu melindungi agama dan maruah bangsa. Musuh Islam akan sentiasa menantikan umat Islam lemah kerana itulah peluang terbaik mereka menguasai umat Islam. Justeru bersama pertahankan maruah Melayu tanpa mengira warna parti. Selaklah satu persatu kenapa maruah Melayu tercabar. Biarlah Melayu dianggap rasis tetapi rasisnya berasaskan perlembagaan.

Ingatlah firman Allah dalam Surah An-Nisaa’ (102) yang antara lain bermaksud :
“Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina,”

Akhirnya, selak kembali, titah Sultan Nazrin Shah pada Kongres Pendidikan Melayu kedua pada 27 Mac 2005 bertajuk ‘ Bangsa Melayu : Mencanai Minda – Membentuk Sikap’ . Baginda ketika menyentuh maruah bangsa antara lain bertitah:
“Sebarang kelemahan, jangan terlalu cepat dirumuskan sebagai identiti nasional bangsa Melayu, seolah-olah sifat lemah – sifat bodoh, milik monopoli bangsa Melayu. Kelemahan yang dikenal pasti, perlu dihalusi – diteliti – difahami akan sebab musababnya. Keupayaan bangsa mengenal pasti sebarang kelemahan hendaklah ditafsirkan sebagai satu kekuatan – sebagai satu langkah bersungguh dalam usaha melakukan pembetulan.
“Sedarlah! apabila sesuatu bangsa memilih untuk merendahkan bangsanya sendiri, akan terbukalah jendela yang memberanikan bangsa lain untuk menghinanya. Lalu bangsa akan dipandang fakir – adat budayanya bakal tersingkir.
“Maruah bangsa wajib dipertahankan dengan menyemai rasa bangga – dengan menanam semangat yakin. Jika sesuatu bangsa mula merasa rendah diri, ragu-ragu akan kelebihannya, bangsa itu akan dihinggapi penyakit lemah semangat, kurang usaha, rendah kedudukannya, hidup dalam suasana melarat, terjajah dan terhina, “

Semoga KMM akan menghasilkan sesuatu, bukannya sekadar kongres. Sudah terlalu banyak Melayu berkongres, wacana, forum dan pelbagai lagi yang seangkatannya untuk mengangkat maruah Melayu. Sekurang-kurangnya ada kesedaran bahawa maruah Melayu tercabar dan diremehkan. Namun apakah tindakan susulan yang boleh melegakan Melayu? Semuanya terletak kepada Melayu kerana merekalah menjadi punca kepada apa yang berlaku hari ini.

Related posts

Leave a Comment