7 kes : 4 import 3 tempatan

PUTRAJAYA: Tujuh kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, 18 Ogos 2020, yang melibatkan empat kes import dan tiga penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif 9,219 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 192 kes.

Beliau berkata kesemua tujuh kes penularan dalam negara itu melibatkan tiga kes tempatan di Kedah iaitu dua daripada Kluster Sala dan satu kes Kluster Tawar.

Empat kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara pula melibatkan dua warganegara  tempatan dan dua bukan warganegara yang masing-masing tiga kes dari Bangladesh dan satu kes dari United Kingdom.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 26 kes yang telah pulih daripada wabak itu pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,902 kes (96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Katanya, sehingga kini terdapat lapan kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di Malaysia kekal 125 kes.

Mengenai Kluster Tawar, beliau berkata dengan penambahan kes baharu itu menjadikan mereka yang dikesan positif Covid-19 bagi kluster itu adalah sebanyak 47 kes.

Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 1,490 orang telah disaring dalam kluster ini iaitu 1,195 individu disaring di Kedah dengan 40 kes dikesan positif, 858 kes negatif dan 297 individu masih menunggu keputusan.

Di Pulau Pinang, seramai 286 disaring iaitu tujuh kes dikesan positif, 216 individu negatif dan 63 individu masih menunggu keputusan manakala di Perak pula sembilan individu disaring yang kesemuanya negatif.

Related posts

Leave a Comment