12 kes: 10 tempatan, 2 import

PUTRAJAYA : Kes positif Covid-19 hari ini, 17 Ogos mencatatkan 12 kes baharu, dengan 10 daripadanya penularan dalam negara, manakala dua lagi adalah kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah kes positif adalah 9,212 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 211 kes.

Sepuluh kes penularan dalam negara itu melibatkan warga tempatan, iaitu satu kes saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh, empat kes Kluster Tawar dan dua kes Kluster Sala di Kedah serta tiga kes daripada Kluster Tawar di Pulau Pinang.

Manakala dua kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara pula adalah masing-masing satu kes di Syria dan Filipina.

Dalam satu kenyataan media mengenai perkembangan Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 17 kes yang pulih daripada wabak itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,876 kes (96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, terdapat lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan. Tiada pertambahan kes kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 kekal sebanyak 125 kes.

Mengenai Kluster Tawar, Dr. Noor Hisham berkata dengan penambahan kes baharu itu menjadikan mereka yang dikesan positif Covid-19 bagi kluster itu adalah sebanyak 46 kes.

Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 1,135 orang telah disaring dalam kluster ini. Seramai 918 individu telah disaring di Kedah dengan 39 kes dikesan positif, 655 kes negatif, dan 224 lagi masih menunggu keputusan.

Di Pulau Pinang pula, 208 individu disaring dengan tujuh kes dikesan positif, 175 individu negatif; dan 26 individu masih menunggu keputusan sementara di Perak (sembilan disaring), tiada kes dikesan positif, lapan individu negatif manakala satu lagi masih menunggu keputusan.

Sementara itu, bagi Kluster Sala pula, dua lagi individu dilaporkan positif, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak enam kes.

Seramai 273 orang telah disaring dalam kluster berkenaan membabitkan 269 individu di Kedah, enam didapati positif, 214 negatif, manakala 49 lagi menunggu keputusan, sementara di Pulau Pinang pula, empat individu telah disaring dan kesemuanya didapati negatif.

Related posts

Leave a Comment