KOTA KINABALU: Ketika Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 21 Ogos ini sebagai tarikh keputusan cabaran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Suruhanjya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, 12 September ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon manakala 22 September tarikh mengundi awal.
“Setakat ini SPR tidak dapat apa-apa arahan daripada mahkamah.Jika terdapat perubahan, ia tertakluk kepada keputusan mahkamah dan bukannya SPR,” katanya.
Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah sementara, Mohd Shafie Apdal telah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendakwa mendapat perkenan daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Kemelut politik di Sabah berlaku susulan Gabungan Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti mudah bersama 32 wakil rakyat lain untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang baharu pada 29 Julai lalu, sebelum membawa kepada pembubaran berkenaan.
Dalam sidang media khas SPR, Azmi berkata tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga pukul 11.59 malam, 26 September.
SPR turut memutuskan melanjutkan waktu membuang undi selama 30 minit dengan
diawalkan bermula 7.30 pagi hingga 5 petang berbanding 8 pagi hingga 5 petang pada PRU lalu. Sasaran SPR, sebanyak 70 peratus daripada 1,124,598 pengundi berdaftar akan keluar mengundi.
Prosedur operasi standard (SOP) juga akan diperketatkan termasuklah laluan khas akan disediakan bagi golongan warga emas berusia 70 tahun ke atas selain menetapkan langkah-langkah pematuhan SOP lain bagi mengekang pandemik Covid-19.
Golongan orang kelainan upaya (OKU) juga akan diletakkan di Saluran Satu pada hari pengundian nanti.