Ditahan ikut perkenan Agong

KUALA LUMPUR : Seorang remaja lelaki berumur 19 tahun diperintahkan ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong setelah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Remaja itu yang berumur 16 tahun semasa kejadian dilihat beberapa kali mengesat air matanya semasa  Hakim Mahkamah Tinggi  Datuk Azman Abdullah membacakan keputusan itu.

Azman menjatuhkan hukuman tersebut ke atas remaja berkenaan selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas 23 pertuduhan membunuh 23 individu tersebut.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 23 pertuduhan tanpa sebarang keraguan munasabah, dengan ini saya mendapati tertuduh melakukan jenayah tersebut seperti mana pertuduhan dengan niat membunuh dan didapati bersalah dan disabitkan,” katanya.

Azman berkata mengikut Seksyen 97 (1)  Akta Kanak-Kanak 2001 pesalah di bawah umur 18 tahun  tidak boleh dikenakan hukuman mati.

Pada 28 Januari 2020, Azman mengarahkan remaja itu membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Menurut pertuduhan pindaan, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sebelum membacakan keputusan ringkasnya,  Azman mengingatkan media dan pihak-pihak lain tidak menyiarkan nama penama pertama (remaja itu)  yang duduk di dalam kandang tertuduh atau  memberi alamat atau apa-apa maklumat yang boleh dikenal pasti mengenai remaja itu.

“Ini kerana penama pertama adalah seorang juvana (remaja bawah umur) semasa kesalahan dilakukan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment